Protes Aman Penduduk Sandakan Terhadap Caj Pemeriksaan Genset Bulanan

SANDAKAN, 3 Julai 2025 – Sekumpulan penduduk berhimpun secara aman di hadapan pejabat Energy Commission of Sabah (ECOS) bagi menyuarakan bantahan terhadap dasar pemeriksaan bulanan genset yang didakwa membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.

Protes yang disertai sekitar 30 orang termasuk ADUN Elopura, Calvin Chong, dan ADUN Gum Gum, Arunarnsin Taib itu menolak kewajipan melantik jurutera bertauliah atau “orang kompeten” untuk memeriksa genset setiap bulan, yang dikatakan melibatkan caj RM400 hingga RM500 sebulan.

“Minggu lalu saya terima aduan, kenapa guna genset pun mahu kena caj ratus-ratus ringgit sebulan, sedangkan sebelum ini tiada bayaran seperti itu?” tegas Calvin Chong yang turut menyerahkan memorandum rasmi kepada ECOS, meminta dasar itu digantung serta-merta bagi pengguna kediaman.

Mengikut surat rasmi ECOS bertarikh 17 Disember 2024, pemeriksaan bulanan diwajibkan bagi pemasangan genset kapasiti tidak melebihi 600 volt tetapi menerima bekalan lebih 100 ampere. Walaupun caj itu tidak dikenakan ECOS secara langsung, ia ditentukan oleh kontraktor luar yang berdaftar.

“Kalau RM400 sebulan, setahun sudah RM4,800. Ini sangat membebankan rakyat. Kenapa perlu diwajibkan sekarang? Jangan tambah penderitaan kami dengan bayaran baru,” ujar Arunarnsin Taib.

Foto – Awam

Peniaga tempatan, Azahari Rangon, turut merayu agar bayaran pemeriksaan itu dimansuhkan, memandangkan kekerapan gangguan bekalan elektrik di Sabah menyebabkan ramai bergantung kepada genset untuk kegunaan harian.

Sementara itu, ECOS dalam kenyataan terdahulu memaklumkan bahawa kadar fi lesen tahunan bagi genset kekal RM30 setahun dan memberi jaminan akan menilai semula dasar pemeriksaan bulanan, khususnya untuk pengguna di kawasan kediaman.

Sumber, Sabah Dimensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal