SANDAKAN: 20 September 2025 – Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Putih Baru di Sandakan bakal dibina semula melalui projek bernilai RM43.89 juta bagi menyediakan kemudahan pendidikan yang lebih kondusif kepada murid dan warga sekolah.
Projek tersebut dilaksanakan berdasarkan reka dan bina oleh Eastbourne Corporation Berhad dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) Pusat Pengurusan Kerja 2 (PPK2) sebagai agensi pelaksana.
Sekolah yang mula beroperasi sejak 1983 kini menampung 629 murid bersama 43 guru serta lima kakitangan sokongan. Namun, keadaan bangunan yang semakin uzur menyebabkan pembinaan baharu menjadi keperluan mendesak.
Projek ini akan merangkumi pembinaan blok pentadbiran, blok akademik dengan 18 bilik darjah, bangunan pra-sekolah, kantin, dan kemudahan lain bagi menggantikan struktur lama yang sudah tidak selamat digunakan.
Kerja pembinaan dimulakan pada 24 Februari lalu dan dijadualkan siap sepenuhnya pada 22 April 2029. Pelaksanaannya melibatkan dua fasa utama yang merangkumi pembinaan bangunan baharu serta perobohan blok lama sebelum kerja menaik taraf tiga blok sedia ada dapat disempurnakan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan yang meninjau projek itu menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan pembinaan berjalan mengikut jadual, menepati standard kualiti serta dilaksanakan dengan selamat.
Beliau menambah, penyediaan fasiliti pendidikan moden itu merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam mendukung agenda Malaysia MADANI dengan memberi fokus kepada kebajikan dan masa depan generasi muda di Sandakan.
Dalam lawatan rasmi ketiganya ke Sabah tahun ini, beliau turut meninjau perkembangan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang melibatkan kerja menaik taraf jalan dari Kampung Perpaduan Datuk Moh ke Sukau, dan dari Sukau ke Kampung Lot M di Kinabatangan.
Projek infrastruktur itu disifatkan penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan sekaligus menyokong pembangunan pendidikan dan sosioekonomi masyarakat setempat.
Sumber: Kenyataan Media
