KOTA KINABALU: 20 September 2025 – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah mempergiat usaha membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan penahanan 21 individu dalam siri operasi penguatkuasaan di sekitar daerah ini.
Operasi yang dijalankan pada 18 dan 19 September lalu melibatkan 28 pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu. Ia digerakkan hasil risikan selama seminggu serta maklumat awam, dengan pemeriksaan terhadap 104 individu di beberapa lokasi tumpuan.
Dari jumlah itu, seramai 21 orang yang terdiri dari warga Pakistan, Filipina, dan Indonesia ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen perjalanan atau pas yang sah.

Kesemua mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM Sabah menegaskan tindakan tegas akan terus diambil terhadap sesiapa yang menggaji, melindungi atau bersekongkol dengan PATI.
Pihak masyarakat turut digesa menyalurkan maklumat mengenai keberadaan warga asing tanpa izin agar tindakan segera dapat dilaksanakan demi keselamatan dan ketenteraman awam.
Sumber: Kenyataan Media
