Oleh: Nurul Fazliana Norman
PAPAR: 25 September 2026 – Pencawang Pembahagian Utama (PPU) 33/11kV Benoni kini beroperasi untuk memperkukuh sistem pengagihan elektrik dan meningkatkan kestabilan bekalan di daerah Papar.
Menurut Ahli Parlimen Papar, Armizan Mohd Ali, PPU Benoni menyediakan kemudahan bekalan sandaran N-1 untuk Pencawang Masuk Utama (PMU) Papar dan PPU Kimanis, sekali gus meningkatkan daya tahan sistem ketika kerja penyelenggaraan atau berlaku gangguan tidak dirancang.
Beliau berkata, projek yang mula dibangunkan pada Ogos 2024 itu turut memperkukuh rangkaian pengagihan 33/11kV sedia ada untuk memastikan bekalan elektrik lebih stabil dan mampu menampung peningkatan permintaan pada masa hadapan.
“Pembinaan kesemua PPU dan PE baharu ini merupakan sebahagian daripada ikhtiar penstabilan bekalan elektrik untuk kampung-kampung dalam Parlimen Papar.
“Antara isu yang dapat ditangani ialah gangguan dalam bentuk kesusutan voltan (voltage drop) yang telah berlarutan sekian lama di sebahagian lokaliti sehingga menyebabkan berlakunya kerosakan barangan elektrik isi rumah,” katanya.
Armizan berkata, sejak 2023 hingga Ogos 2026, sebanyak 16 Pencawang Elektrik (PE) baharu turut dibina oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) di kawasan Parlimen Papar.
Beliau berkata, pembinaan PE itu melibatkan beberapa lokasi termasuk Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan, Kampung Sagang, Kampung Takis Tabasan, Kampung Sri Tanjung, Pengalat Kecil, Kampung Benoni Darat, Parklane City Benoni dan Taman Alamanda.
Armizan berharap PPU Benoni dan infrastruktur berkaitan dapat beroperasi dengan cekap, selamat dan berdaya tahan untuk memberikan manfaat berpanjangan kepada penduduk Papar.
Jesturu, beliau turut berharap usaha penstabilan bekalan tenaga di peringkat negeri terus diperkasa kepada rakyat Sabah untuk menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil, berkualiti dan mampan.
Perasmian PPU Benoni disempurnakan Armizan semalam dan turut dihadiri ADUN Pantai Manis, Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra; Pengerusi SE, Datuk Saadiah Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Ts. Mohd Yaakob Hj. Jaafar.

