Politeknik RM50 juta di Tempasuk jika BNmenang: Abdul Rahman
Mohd Syukrie Johary
KOTA BELUD: Sebuah politeknik bernilai RM50 juta akan dibina di Tempasuk jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Calon BN Parlimen Kota Belud, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata pembinaan politeknik pertama di daerah ini sudah diluluskan Kementerian Pendidikan Tinggi.
“Jika BN kembali memerintah, hasrat untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi awam itu di Kota Belud sudah pasti menjadi kenyataan.
“Kelulusan pun sudah diberikan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi,” katanya berucap pada Himpunan Anak Muda di Kampung Keguraan di sini, malam Ahad.
Beliau berkata, sebuah pekan baru juga akan diwujudkan di Tempasuk yang sudah lulus untuk pembangunan ekonomi penduduk setempat.
Abdul Rahman berkata, sebagai langkah pertama, sebanyak 150 kedai akan dibina di pekan baru Tempasuk itu.
Katanya, kewujudan pekan baru itu dijangka mampu menyediakan ruang perniagaan dan 1,500 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Jika BN menang, kita janji tidak ada keluarga di Kota Belud mempunyai pendapatan kurang RM2,208 sebulan.
“Jika pendapatan keluarga RM1,000 kerajaan akan tambah RM1,008 sebulan kepada mereka tanpa perlu mengemukakan permohonan kepada kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan BN turut menawarkan pembiayaian sepenuhnya kepada anak penduduk Kota Belud yang melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi.
Sehubungan itu, Abdul Rahman mengakui tidak merayu undi penduduk Kota Belud tanpa ada menjanji pemberian untuk mereka sebagai ganjaran.
– Tv Sabah News
0 Comments