Gambar ilustrasi sahaja
Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 16 Julai 2026– Polis menahan dua lelaki untuk membantu siasatan selepas kes kehilangan kanak-kanak perempuan, Nurjilya Abdullah, yang dilaporkan hilang di Kampung Numbak, Sepanggar pada 13 Julai lalu.
Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh susulan penemuan mayat mangsa di kawasan cerun semak berhampiran sebuah rumah dalam pembinaan di Bukit Kampung Numbak, malam tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Supt. Syed Lot Syed Ab Rahman berkata, mayat mangsa ditemukan kira-kira jam 10.38 malam selepas polis menerima maklumat orang awam.
Beliau berkata, pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa berada dalam keadaan mereput sebelum dikenal pasti oleh ibu mangsa berdasarkan pakaian yang dipakai ketika dilaporkan hilang.
Menurutnya, hasil bedah siasat mendapati punca kematian dipercayai akibat kecederaan pada bahagian muka dan belakang kepala disebabkan hentaman objek keras dan tumpul.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, pihak polis telah berjaya menahan dua lelaki untuk membantu siasatan kes ini,” katanya.
“Kedua-dua suspek akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan diteruskan,” tambah beliau.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan polis sedang melengkapkan siasatan termasuk mendapatkan keterangan saksi dan mengumpul bukti berkaitan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat ASP La Paula Abd Muis di talian 013-5149490 atau tampil ke balai polis berhampiran.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

