KOTA KINABALU: 10 Disember 2025 — Polis Daerah Kota Kinabalu sedang mengesan saksi dan suspek berhubung kejadian mendatangkan kecederaan melibatkan seorang pelancong wanita warga China di pusat bandar pada isnin.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Bin Muda, laporan diterima sekitar jam 7.00 malam dari mangsa, wanita berusia 31 tahun.
Kejadian berlaku di Jalan Kota Kinabalu Lama 2 berhampiran bangunan Public Bank.
Siasatan awal mendapati mangsa sedang berjalan kaki bersama suaminya sebelum objek dilontarkan dari sebuah kenderaan bergerak mengenai tubuhnya hingga mangsa mengalami kecederaan lebam pada bahagian badan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 337 Kanun Keseksaan kerana perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain, yang boleh membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM1,000, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Polis memohon kerjasama orang awam yang berada di kawasan berkenaan khususnya pemilik kenderaan yang mempunyai rakaman dashcam untuk tampil memberi maklumat.
Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat Kes, Sarjan Damian Frederick Bin Frederick di talian 017-6565133 atau Bilik Gerakan IPD Kota Kinabalu di talian 088-310208.
Sumber: Kenyataan Media Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu
