Polis Rampas Syabu Lebih RM6,000, Empat Warga Indonesia Ditahan Polis

LAHAD DATU: 8 September 2025 – Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Lahad Datu bersama Balai Polis Desa Kencana menahan empat lelaki warga Indonesia dalam tiga operasi berasingan melibatkan kesalahan dadah di sekitar daerah ini antara 7 hingga 8 September.

Dalam kes pertama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan pasukan rondaan cegah jenayah Balai Polis Desa Kencana sekitar jam 11.05 pagi di Jalan Embara Budi. Pemeriksaan menemukan satu paket plastik lutsinar berisi syabu seberat 0.09 gram di dalam beg sandang hitam yang dibawanya. Ujian saringan awal air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah.

Siasatan kedua dilakukan pada hari sama kira-kira jam 6.58 petang, apabila seorang lagi lelaki Indonesia berusia 26 tahun ditahan selepas disyaki memasukkan dadah ke dalam tubuh. Hasil ujian mendapati suspek positif dadah.

Kes ketiga pula berlaku sekitar jam 9.35 malam di Jalan Ulu Tungku melalui operasi Op Tapis. Polis menahan sebuah kereta Proton Saga merah yang membawa dua lelaki Indonesia berusia 30 dan 45 tahun.

Pemeriksaan menemukan satu bungkusan plastik hitam mengandungi 16 paket syabu dengan berat keseluruhan 57.03 gram bernilai anggaran RM6,273.30. Polis turut merampas kereta berkenaan serta dua telefon bimbit.

Secara keseluruhan, dalam tempoh dua hari operasi itu, polis menahan empat lelaki berusia 26 hingga 45 tahun serta merampas dadah jenis syabu seberat 57.12 gram bernilai kira-kira RM6,283.20.

Kes disiasat di bawah Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a), dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Hj. Dzulbaharin Hj. Ismail, menegaskan operasi ini mencerminkan komitmen berterusan PDRM dalam membanteras jenayah dadah di daerah tersebut.

Sumber: Polis Daerah Lahad Datu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal