Tawau, 5 JULAI 2025 (Sabtu) — Seorang lelaki tempatan berusia 31 tahun diberkas bersama ganja seberat lebih 200 gram dalam satu serbuan polis di hadapan Era Mini Market, Batu 8, Ranggu malam Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, serbuan dilakukan sekitar jam 9 malam oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas pemantauan selama kira-kira 15 minit terhadap suspek yang berada dalam kenderaan pacuan empat roda dalam keadaan mencurigakan.
“Setelah ditahan dan disoal siasat, suspek mengaku menyimpan dadah dan menyerahkan satu plastik putih bertulis ‘MR DIY’ kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pemeriksaan lanjut menemui satu kotak putih mengandungi alat penimbang digital dan tiga bekas plastik lutsinar berisi 24 paket plastik pelbagai saiz mengandungi ketulan tumbuhan mampat dipercayai ganja. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan seberat 204.91 gram dengan nilai pasaran sekitar RM4,500.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis Vivo Y20, kenderaan Toyota pacuan empat roda berwarna merah berserta kuncinya. Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja (tetrahydrocannabinol).
“Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori,” katanya.
ACP Jasmin turut menggesa orang awam agar terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dan menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyalahgunaan dadah dalam usaha membanteras jenayah ini di daerah Tawau.
Sumber, Sabah Dimensi