oleh David E.
KOTA KINABALU: 2 November 2026 – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyerahkan sembilan projek bekalan elektrik yang siap pada 2025 kepada Kerajaan Negeri Sabah menerusi Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).
Ketua Setiausaha PETRA, Datuk Sri Haji Mad Zaidi bin Mohd Karli, berkata penyerahan itu mencerminkan komitmen kerajaan menyediakan infrastruktur berkualiti kepada rakyat.
“Majlis ini bukan sahaja menandakan penyempurnaan projek yang dilaksanakan, malah mencerminkan komitmen semua pihak dalam merealisasikan amanah kerajaan,” katanya pada majlis penyerahan di Hotel Le Meridien di sini, hari ini.
Beliau berkata pelaksanaan projek itu sebahagian daripada tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat Sabah menikmati bekalan elektrik lebih baik dan berdaya harap.
“Setiap projek yang dilaksanakan perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat dan seterusnya menyokong pembangunan serta kesejahteraan negeri Sabah,” katanya.
Mad Zaidi merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Sabah, SE dan pihak berkuasa tempatan atas kerjasama erat sepanjang pelaksanaan projek.
“Kerjasama yang baik antara semua pihak amat penting dalam memastikan setiap halangan dapat diatasi agar hasil dapat diterjemah bagi memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berharap kemudahan dan infrastruktur yang disediakan dapat mengukuhkan sistem bekalan elektrik dan memberi manfaat kepada penduduk seluruh Sabah.
Katanya usaha itu selaras slogan “Mengapai di langit, mengakar di bumi” Kerajaan Madani dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat menerusi infrastruktur asas yang berkualiti, selamat dan berdaya harap.
Mad Zaidi turut menghargai komitmen pasukan projek menghadapi cabaran, termasuk sistem bekalan elektrik yang belum kukuh dan keadaan unik muka bumi Sabah.
“Kejayaan menyiapkan projek ini membuktikan dengan perancangan baik, kerjasama erat dan komitmen semua pihak, cabaran pelaksanaan dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.
Beliau berharap Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) bersama semua pihak berkepentingan terus memberi komitmen terbaik memastikan projek bekalan elektrik Sabah dilaksanakan dengan teratur, berkualiti dan menepati tempoh ditetapkan.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Datuk Ir. Abdul Nasser bin Abdul Wahid; dan Ketua Pegawai Eksekutif SE, Datuk Ir. Mohd Yaakob bin Haji Jaafar.
Sumber: JAPEN
