oleh David E.
TENOM: 8 Ogos 2026 – Untuk peserta kursus pertanian di Tenom, hasrat mendapatkan pensijilan myOrganic bukan sekadar pengiktirafan, tetapi peluang menjana pendapatan lebih lumayan melalui hasil tanaman sihat.
Dalam masa sama, 25 keluarga B40 di Kampung Lagud mula mengubah nasib setelah menerima induk lembu berkualiti.

Menteri Pertanian, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kursus Transformasi Teknologi Perladangan Organik 2.0 menjadi platform penting untuk peserta dari Tenom, Keningau, Nabawan dan Kudat mempelajari prosedur operasi standard (SOP) untuk mendapatkan pensijilan myOrganic.
Program anjuran Jabatan Pertanian ini bukan sahaja meningkatkan kemahiran pengusaha, malah membolehkan mereka memasarkan hasil pada harga premium.
“Masyarakat kini mementingkan kesihatan. Jika banyak ladang organik digiatkan, pengguna mendapat bekalan makanan stabil dan selamat, manakala pengusaha pula meraih pulangan lebih tinggi, walaupun pengguna perlu membayar harga sedikit mahal,” katanya selepas merasmikan penutupan kursus di Dewan SJK (C) Chung Hwa.
Sementara itu, program bantuan ternakan memberi nafas baharu kepada golongan B40. Dua padang ragut di Kampung Lagud dan Pamilaan telah dipulihkan dengan pagar dan rumput baharu. Sebanyak 25 ekor lembu diagihkan hari ini, manakala 45 lagi menyusul September depan.
Mengambil iktibar pengalaman lalu di mana ada penerima menjual lembu dalam tempoh dua atau tiga bulan, Jamawi menasihatkan penerima supaya tidak tergesa-gesa melepaskan bantuan tersebut. “Jangan dijual. Biarkan ia membiak sehingga tujuh generasi. Dengan penjagaan baik, jumlah ternakan boleh meningkat kepada 10, 20 atau 30 ekor,” katanya, mengingatkan agar bantuan ini dimanfaatkan untuk pendapatan jangka panjang.
Beliau memberi jaminan sokongan berterusan kepada penerima. “Jika ada masalah pagar, rumput atau induk, beritahu. Kita bantu sehabis baik,” ujarnya, untuk memastikan program kerajaan benar-benar meningkatkan taraf hidup masyarakat setempat.
Sumber: MAFFI

