Pesta Kaamatan 2025 Inklusif, Teratur, dan Untuk Semua

KOTA KINABALU, 22 Mei 2025 – Sambutan Pesta Kaamatan tahun ini menjanjikan edisi yang lebih inklusif dan teratur, dengan tema “Kaamatan Untuk Semua” menekankan penglibatan meluas pelbagai lapisan masyarakat.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan, penyertaan program Kaamatan kini merentasi sempadan negeri, melibatkan Sarawak dan enam negeri di Semenanjung Malaysia.

Perayaan yang akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia pada 30 Mei 2025 ini, turut menampilkan rumah-rumah tradisi dan rumah tradisi Tabilung yang yang telah siap dibina, dibuka untuk kunjungan orang ramai.

Penekanan terhadap penguatkuasaan peraturan bagi memastikan perayaan yang teratur, mesra keluarga, dan menghormati budaya turut menjadi fokus utama. Denda sebanyak RM1,000 akan dikenakan terhadap pelanggaran seperti memainkan muzik terlalu kuat melepasi jam 1 pagi, menari di atas meja, dan minum berlebihan. Rumah-rumah tradisional juga hanya dibenarkan menyajikan makanan dan minuman tradisi.

KDCA juga telah mengurangkan yuran sewa bagi gerai RM7,000 diturunkan ke RM5,000, sementara bagi gerai RM5,000 diturunkan kepada RM2,500, kerana disokong oleh peruntukan yang lebih tinggi daripada kerajaan negeri.

Selain pertandingan Unduk Ngadau, sambutan kemuncak di Hongkod Koisaan, Penampang pada 30 dan 31 Mei juga akan menampilkan pertandingan Buvazoi Tavantang Kaamatan (BTK).

Pihak pengurusan turut mengambil langkah berjaga-jaga dalam menghadapi kemungkinan cuaca buruk, walaupun ramalan menunjukkan keadaan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Dengan sokongan kerajaan yang ditingkatkan, Pesta Kaamatan 2025 dijangka menjadi edisi yang lebih bermakna dan inklusif untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal