KOTA KINABALU: 18 Ogos 2026 – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) meluluskan peruntukan hampir RM4.3 juta untuk menampung keperluan segera fasiliti dan peralatan perubatan di Hospital Tambunan, Ranau, dan Kota Belud.
Menteri Kesihatan, Datuk Dzulkefly Ahmad, berkata kelulusan itu dibuat selepas lawatannya ke ketiga-tiga hospital untuk meninjau sendiri keadaan kemudahan dan keperluan perkhidmatan kesihatan di peringkat daerah.
Di Hospital Tambunan, sebanyak RM988,000 diluluskan untuk menaik taraf Jabatan Kecemasan, membaiki kantin yang rosak, dan membeli kelengkapan perubatan seperti mesin ultrasound. Projek Jabatan Pesakit Luar (JPL) yang terbengkalai sembilan tahun dibatalkan, sebaliknya KKM merancang membina hospital baharu. Kerja awal sedang dilaksanakan Jabatan Kerja Raya untuk memohon kelulusan penuh di bawah Rolling Plan 3 RMK-13.
Hospital Ranau menerima RM1.279 juta segera untuk menyelesaikan isu kritikal, termasuk kemudahan triage, kantin, kapasiti transformer elektrik, dan peralatan perubatan. Sejumlah RM950,000 digunakan untuk membina kaunter saringan, membaiki kantin, dan menaik taraf transformer untuk pemasangan pendingin hawa di tiga wad, manakala RM329,000 diperuntukkan untuk peralatan penting. KKM turut meluluskan perolehan empat ambulans baharu.
Hospital Kota Belud mendapat peruntukan terbesar, iaitu RM2.01 juta, untuk memperbaiki dan memperbesarkan Unit Pesakit Luar yang menampung 260 hingga 270 pesakit setiap hari. Daripada jumlah itu, RM1 juta untuk menaik taraf bangunan JPL, RM510,000 untuk memantapkan kelengkapan Unit Pergigian, dan RM500,000 untuk mesin Mobile X-Ray baharu menggantikan aset lama berusia 18 tahun.
“Semua yang kita luluskan segera itu adalah dari peruntukan Menteri yang boleh saya serahkan dan luluskan terus untuk dilaksanakan. Semuanya akan dikendalikan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah,” jelas Dzulkefly.
Untuk Hospital Ranau, KKM lebih cenderung menaik taraf hospital sedia ada sambil menjalankan kajian kebolehlaksanaan untuk menilai keperluan penambahbaikan di tapak berkenaan.
Turut hadir Ketua Setiausaha KKM, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad, dan Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Maria Chong.
Sumber: JAPEN

