Pertandingan Video Pendek Promosi Pelancongan Keningau KeTAC Tawarkan lebih RM10,000

KeTAC SAFVA

Jawatankuasa Penganjur yang hadir pada mesyuarat penganjuran pertandingan: Duduk dari kiri Setiausaha Agung, Jade Morris, Presiden SAFVA, Chester Pang, Pengerusi KeTAC merangkap pengerusi penganjur bersama, Rafie Robert, Naib Presiden SAFVA, Zahm Zulkifli, Ketua SAFVA Zon Keningau, Vellah Syah. Berdiri dari kiri Setiausaha KeTAC, Boneventure, Timbalan Pengerusi, Daffri, Penolong Setiausaha KeTAC, Syafiee, EXCO SAFVA, Gregory Gitting, Johari Abdullah dan Esthaer.

KENINGAU: 14 Disember 2025 – Persatuan Pelancongan dan Kebudayaan Keningau (KeTAC), dengan kerjasama Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA) akan menganjurkan Pertandingan Video Pendek Promosi Pelancongan Keningau, yang turut mendapat sokongan Kementerian Pendidikan, Sains Teknologi dan Inovasi Sabah.

Menurut Presiden SAFVA, Chester Pang, pertandingan video pendek itu merupakan inisiatif bersama sejak September 2025, dengan tujuan mencungkil bakat kreatif dalam kalangan belia dan penggiat industri kreatif di seluruh Sabah, terutamanya di Keningau.

Tambahnya lagi, peserta digalakkan menghasilkan video pendek berkualiti tinggi berdurasi antara 1 hingga 3 minit menggunakan telefon pintar untuk mempromosikan tempat menarik, kebudayaan dan keindahan alam semulajadi di Keningau.

Pengerusi Penganjur, Rafie Robert, dalam kenyataan beliau berkata, pertandingan ini bukan sahaja platform untuk menunjukkan bakat, tetapi juga usaha penting dalam memacu industri pelancongan tempatan.

“Kami menjemput semua individu berbakat untuk menyertai. Ini adalah peluang untuk mempamerkan keindahan Keningau di mata dunia melalui lensa kreatif anda,” ujar Rafie.

Rafie yang juga Pengerusi KeTAC berkata, Pelancongan Keningau merupakan tema pertandingan yang meliputi kawasan dari Apin-Apin hingga Senagang.

Video yang terpilih akan ditayangkan melalui platform media sosial Facebook, Instagram, dan TikTok selepas tarikh tutup penyertaan pada 25 Januari 2026.

Maklumat lanjut mengenai syarat penyertaan dan borang boleh didapati di laman Facebook rasmi KeTAC dan SAFVA bermula 16 Disember 2025.

Untuk sebarang pertanyaan, boleh hubungi sekretariat penganjur melalui WhatsApp: 016- 3511678.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal