Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 21 Ogos 2026 – Percikan api kabel elektrik yang jatuh ke semak kering mencetuskan kebakaran belukar seluas kira-kira 100 x 10 meter di Jalan Kampung Bomboi, Keningau, malam tadi.
Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau menerima panggilan kecemasan pada jam 11.16 malam sebelum menggerakkan pasukan operasi seramai 10 anggota ke lokasi sejauh 4.2 kilometer dari balai.
Pasukan diketuai PBK I Danny Boy Cornelio menggunakan jentera FRT dan EMRS dan tiba di lokasi pada jam 11.25 malam.
Setibanya di lokasi, pasukan mendapati percikan api kabel elektrik menyebabkan kebakaran merebak ke kawasan semak kering.
Anggota bomba membentangkan satu aliran hos forest fire sepanjang 200 kaki untuk mengawal dan memadamkan kebakaran.
Api berjaya dikawal pada jam 11.48 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.49 malam.
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memadam sendiri kebakaran membabitkan kabel elektrik yang berasap, terputus atau mengeluarkan percikan api kerana berisiko terkena renjatan elektrik.
Sebaliknya, orang ramai diminta menjauhi kawasan berkenaan dan segera menghubungi Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) atau talian kecemasan 999.
Sumber: Balai Bomba dan Penyelamat Keningau

