KOTA KINABALU: 28 Februari 2026 – Ketua Menteri Sabah, Hajiji Haji Noor menegaskan bahawa perancangan pembangunan yang tersusun dan strategik akan menentukan hala tuju pembangunan Sabah yang lebih mampan dan inklusif pada masa hadapan.
Beliau berkata, Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) telah membentangkan sembilan Pelan Induk serta Kajian Kebolehlaksanaan sebagai panduan penting bagi merancang dan melaksanakan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Menurutnya, sejak penubuhannya, SEDIA telah menerima peruntukan keseluruhan sebanyak RM3.7 bilion dan berjaya melaksanakan pelbagai projek pembangunan yang memberi impak besar kepada rakyat, meliputi sektor pertanian, perindustrian, logistik, infrastruktur dan pembangunan modal insan.
Antara projek utama yang diketengahkan ialah pembangunan Palm Oil Industrial Cluster (POIC) Lahad Datu yang berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan.
Selain itu, Pusat Penternakan Bersepadu Keningau turut meningkatkan pengeluaran susu negeri, manakala pembinaan Jalan Tongod–Pinangah berjaya memendekkan masa perjalanan sehingga 75 peratus.
Dalam masa sama, pembangunan Laluan Pejalan Kaki dan Berbasikal Tanjung Aru ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) membantu meningkatkan kualiti hidup penduduk bandar, sementara Hab Pendidikan Sandakan diwujudkan bagi memperkasa pembangunan modal insan khususnya di Pantai Timur Sabah.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan pelaksanaan RMK13 benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, merapatkan jurang pembangunan antara wilayah serta mengukuhkan asas ekonomi Sabah untuk jangka masa panjang.
Sumber: Hajiji Haji Noor
