LABUAN: 19 Februari 2026 – Seorang peniaga hasil pertanian di pinggir Wilayah Persekutuan Labuan dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi peraturan penandaan harga sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2026.
Tindakan itu diambil selepas pemeriksaan dijalankan pada 18 Februari oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan di beberapa premis perniagaan luar bandar yang terlibat sepanjang tempoh skim berkuat kuasa.

Menurut KPDN, peniaga gagal mempamerkan tanda harga khas berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal, iaitu bawang putih yang termasuk dalam senarai SHMMP Tahun Baharu Cina 2026, justeru melanggar Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Barangan Harga Terkawal) di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723].
Peniaga yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 atau kompaun maksimum RM5,000, manakala syarikat atau pertubuhan boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikompaun sehingga RM10,000.
Sumber: KPDN WP Labuan
