KOTA KINABALU: 20 Julai 2026 – Pengalihan utiliti, termasuk pemindahan tiang elektrik, dikenal pasti sebagai antara faktor yang menjejaskan kemajuan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah, selain isu pengambilan tanah, keadaan geoteknik, penyelesaian isu teknikal di tapak dan prestasi kontraktor.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam berkata, pengalihan utiliti merupakan komponen kritikal kerana kerja pembinaan tidak dapat dilaksanakan di kawasan yang masih mempunyai utiliti sedia ada atas faktor keselamatan, risiko gangguan bekalan serta kemungkinan kerosakan kepada infrastruktur utiliti.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Ir. Chin Shu Ying (ADUN Dilantik) mengenai penyebab utama kelewatan penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta langkah yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, hari ini.
“Pengalihan utiliti, iaitu pemindahan tiang elektrik merupakan antara faktor yang memberi kesan kepada kemajuan projek.”
Menurut beliau, proses pengalihan utiliti bukan sekadar membabitkan pemindahan tiang elektrik, malah melibatkan kabel telekomunikasi dan aset utiliti lain dalam jajaran pembinaan. Proses itu turut merangkumi pengesahan kedudukan utiliti, penyediaan reka bentuk, kelulusan teknikal, penyediaan koridor utiliti serta penyelarasan dengan pemilik utiliti sebelum kerja pembinaan dapat diteruskan.
Selain isu utiliti, beliau berkata kelewatan projek turut dipengaruhi proses pengambilan tanah, keadaan geoteknik di lokasi tertentu, penyelesaian isu teknikal di tapak serta prestasi kontraktor mengikut pakej masing-masing.
Bagi mempercepatkan pelaksanaan projek, kerajaan memperkukuh mekanisme penyelarasan melalui Jawatankuasa Pemandu Pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo dan mesyuarat penyelarasan berkala di peringkat tapak. Isu-isu kritikal yang memerlukan keputusan dasar turut dibawa ke peringkat pengurusan tertinggi melibatkan kementerian dan agensi berkaitan bagi mempercepatkan penyelesaiannya.
“Pendekatan ini membolehkan isu-isu pelaksanaan dikenal pasti dan diselesaikan lebih awal, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan semasa fasa pembinaan.”
Beliau berkata kerajaan akan terus memberi penekanan kepada penyediaan reka bentuk terperinci, pengambilan tanah dan pengalihan utiliti sebelum sesuatu projek dimulakan, di samping memantau pelaksanaan setiap pakej Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah bagi memastikan ia dapat disiapkan secara teratur, berkualiti dan memberi manfaat kepada rakyat serta pembangunan Sabah.

