Penduduk pindah ke PPS susulan hujan lebat berterusan

IMG 1551

KOTA MARUDU: 10 Mac 2026 – Sejumlah penduduk di Kampung Beliajung dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 susulan hujan lebat berterusan yang menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air, hari ini.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Marudu telah digerakkan ke kawasan ‘hotspot’ bagi memantau paras air dan memastikan keselamatan penduduk. Operasi menyelamat masih giat dijalankan bagi memastikan semua mangsa dan penduduk di kawasan terjejas berada dalam keadaan selamat.

Dalam masa sama, satu lawatan peninjauan dilaksanakan ke PPS Dewan Kampung Nolotan dan PPS Dewan Kampung Asin-Asin bagi menilai kesesuaian menaik taraf lokasi tersebut sebagai Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB). Lawatan itu melibatkan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, APM Daerah Kota Marudu, dan Pejabat Daerah Kota Marudu.

Turut menyertai lawatan berkenaan ialah Pembantu Pegawai Pertahanan Awam Daerah, Lt. M (PA) Siti Saleha binti Hassan bersama Lt. (PA) Syafiq bin Sabtu dan beberapa anggota lain. Peninjauan itu bertujuan menilai keadaan fasiliti bagi memastikan cadangan penaiktarafan dapat menyediakan kemudahan yang lebih selesa, selamat dan teratur kepada penduduk sekiranya berlaku bencana pada masa hadapan.

Orang ramai yang memerlukan bantuan segera atau ingin melaporkan kecemasan boleh menghubungi talian 999 atau Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Kota Marudu di talian 088-661656.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal