KOTA KINABALU: Penduduk yang tinggal berhampiran jajaran paip gas daratan Sabah kini boleh bernafas lega. Langkah keselamatan di sepanjang 150 kilometer laluan itu diperkukuh.
Pengukuhan itu menerusi penubuhan Jawatankuasa Koridor Paip Gas Daratan Sabah (JKKPGDS) yang diterajui bersama Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) dan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP).
Ketua Pegawai Eksekutif ECoS, Datuk Ir. Abdul Nasser Abdul Wahid, berkata mesyuarat pertama jawatankuasa itu diadakan pada 5 November lalu.
Mesyuarat berkenaan memperincikan skop tugas dan menyelaras tindakan penguatkuasaan di kawasan laluan paip gas negeri.
“Mesyuarat pertama ini membincangkan secara khusus skop dan tanggungjawab jawatankuasa. Kami juga mendengar pembentangan dari PETRONAS dan Sabah Energy Corporation (SEC) selaku pengendali paip gas di Sabah mengenai status semasa risiko dan isu-isu penguatkuasaan di sepanjang jajaran paip gas sepanjang 150 km di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, kelmarin.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa itu susulan bengkel penyelarasan bersama lebih 52 agensi kerajaan dan pemegang taruh yang diadakan pada tahun lalu.
Jawatankuasa berkenaan menghimpunkan pelbagai agensi keselamatan, teknikal, dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).
Selaras kuasa kawal selia ECoS di bawah Enakmen Bekalan Gas 2023, Panduan Pengurusan Keselamatan Koridor Paip Gas Pengagihan di Sabah kini di peringkat akhir pemuktamadan selepas mengambil kira semua input teknikal dari agensi berkaitan.
Turut menganggotainya Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan (PHEDNP), Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah (KKTP), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU), Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW), Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO), Sabah Oil & Gas Development Corporation (SOGDC), dan Kota Kinabalu Industrial Park (KKIP).
