TELUPID: 11 Februari 2026 – Setelah lebih sedekad, impian sekitar 4,000 penduduk menjadi kenyataan ketika projek pembinaan Jambatan Sungai Labuk secara rasmi dimulakan pada majlis pecah tanah oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam pada 10 Februari.
Ketika ditanya wartawan, Joachim berkata, pembinaan Jambatan Sungai Labuk merupakan keperluan mendesak rakyat dan merupakan komitmen kerajaan dalam memastikan akses asas penduduk luar bandar terus diperkasa.
Menurut beliau, jambatan itu menggunakan teknologi pembinaan baharu, yang mana komponen jambatan dihasilkan di kilang yang telah diberikan kepercayaan, sebelum dipasang di tapak projek, sekali gus mengurangkan risiko kelewatan dan meningkatkan kualiti pembinaan.
Sehubungan itu, Joachim meminta penduduk untuk terus bersabar sepanjang tempoh pembinaan kerana penggunaan feri masih diperlukan untukt sementara waktu.
Ketua Penolong Pengarah (Jambatan), Ir. Scott Simon Bosuin menjelaskan, reka bentuk asal jambatan sepanjang 180 meter terpaksa diubah menjadi 250 meter selepas penilaian teknikal mendapati struktur tanah di kawasan sungai semakin terhakis.
“Perubahan tersebut memerlukan penambahbaikan spesifikasi kejuruteraan bagi memastikan keselamatan dan ketahanan jangka panjang jambatan. Susulan itu, peruntukan projek turut ditingkatkan dari RM25 juta ke RM29 juta, dengan pembiayaan sepenuhnya disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan.” katanya.
Kontraktor yang dilantik bagi melaksanakan projek itu ialah Akif Jaya Sdn. Bhd., dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada 5 Februari 2026 dan dijangka siap sepenuhnya pada 4 Februari 2028.
Apabila siap kelak, jambatan itu bukan sahaja menjadi laluan utama penduduk, malah dijangka meningkatkan kecekapan pergerakan hasil ekonomi setempat, khususnya sektor perladangan kelapa sawit termasuk ladang Ribubonus yang bergantung kepada akses pengangkutan yang stabil.
Sebelum ini, penggunaan feri bukan sahaja membebankan penduduk dari segi kos tambang, malah melibatkan perbelanjaan tinggi kepada pihak pengendali feri.
Kekerapan pergerakan feri yang tinggi setiap hari turut memberi kesan negatif terhadap ekosistem sungai, selain meningkatkan risiko keselamatan pengguna. Keadaan menjadi lebih kritikal apabila berlaku banjir, menyebabkan perkhidmatan feri terhenti dan penduduk terputus hubungan selama beberapa hari.
Bagi penduduk tempatan, pembinaan jambatan ini dianggap sebagai perubahan besar kepada kehidupan seharian mereka. Seorang penduduk dari Kampung Ansuan, Joehan Raimin menyatakan kesyukuran atas pembinaan yang dinanti sejak sekian lama.
“Saya dan penduduk lain menanti lebih dari 10 tahun, selama ini penduduk terpaksa mengikut jadual operasi feri dan sering berdepan kesukaran apabila perkhidmatan tergendala akibat banjir. Pernah berlaku kejadian banjir hampir seminggu, menyebabkan hubungan terputus sepenuhnya dan banyak urusan penting tertangguh, termasuk mendapatkan rawatan kesihatan.” katanya.
Beliau menyuarakan harapan agar projek ini dapat disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan kerana ia bakal membawa kemudahan, keselamatan dan kelancaran pergerakan kepada penduduk kampung.

Majlis pecah tanah itu turut dihadiri ADUN Telupid, Datuk Jonnybone J. Kurum dan Pegawai Daerah Telupid, Celestine Jetony. Dengan bermulanya pembinaan jambatan ini, penantian panjang penduduk akhirnya terjawab, menandakan satu lagi langkah penting ke arah kesejahteraan komuniti dan pembangunan berterusan di kawasan Telupid.
