Pembatalan Tender JALB RM1.7 Bilion: Rakyat Luar Bandar Sabah Jadi Mangsa, Desak Kerajaan Kaji Semula

f596ea7d 3668 47d1 8234 aafb2236f117

KUALA LUMPUR: 30 Oktober 2026 — Nasib rakyat luar bandar di Sabah menjadi pertaruhan apabila pembatalan tender membabitkan 13 projek Jalan Luar Bandar (JALB) mengakibatkan kerugian peruntukan RM1.716 bilion di negeri itu.

Desakan agar Kerajaan Persekutuan mengkaji semula keputusan tersebut disuarakan Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, yang mengetuai sidang media bersama wakil rakyat Sabah lain di Parlimen kelmarin.

Mereka turut menyeru kerajaan menyalurkan baki peruntukan untuk memulihkan modal pusingan kontraktor tempatan yang terjejas.

Menurut Ewon, sebanyak 112 projek JALB di seluruh negara mengalami tunggakan bayaran interim kontraktor dan pampasan tanah bernilai RM259.503 juta.

“Apa yang lebih mengejutkan, Wilayah Sabah mencatatkan tunggakan paling parah iaitu sebanyak RM118.84 juta melibatkan 35 projek.

“Sungguhpun Kementerian Kewangan mengumumkan suntikan tambahan, namun ia masih gagal menutup lompang tunggakan sedia ada yang amat kritikal,” katanya.

Beliau berkata, kegagalan itu memaksa kerajaan mengambil dua tindakan drastik yang menghukum rakyat luar bandar.

Tindakan pertama ialah pembatalan proses tender berskala besar melibatkan 40 projek di seluruh negara bernilai RM5.144 bilion.

Tindakan kedua ialah penangguhan Surat Setuju Terima (SST) melibatkan 87 projek bernilai RM8.096 bilion. Arahan membekukan pengeluaran SST itu memberi kesan kepada tujuh projek JALB di Sabah dengan nilai peruntukan RM548.85 juta.

“Kami tidak akan berdiam diri dan akan terus menyuarakan isu ini dalam Dewan Parlimen agar hak rakyat luar bandar Sabah tidak dinafikan,” tegasnya.

Sidang media itu turut dihadiri Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau; Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Mohd Kurniawan Naim Moktar; Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Hajah Siti Aminah Aching; dan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal