Oleh: Nurul Fazliana Norman
PENAMPANG: 18 Oktober 2026 – Seorang lelaki berusia 27 tahun maut, dan seorang penumpang lelaki cedera parah dalam kemalangan kendiri di Bulatan 360, Jalan Bundusan, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, kereta yang dinaiki kedua-dua lelaki itu terbabas sebelum melanggar tembok bulatan sehingga menyebabkan bahagian hadapan kenderaan terbakar.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton, berkata pemandu disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala penumpang yang cedera parah sedang menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth II, Kota Kinabalu.
Identiti pemandu tidak didedahkan dan penumpang masih belum dikenal pasti.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Saparia Ladoni, menerusi talian 019-809 5133.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sumber: Polis Daerah Penampang

