Oleh: Nurul Fazliana Norman
KENINGAU: 18 Julai 2026 – Seorang pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Marq Jayson Michael, 18, mengharumkan nama Sabah apabila terpilih mewakili Malaysia dalam Program Sports Visitor di Boston, Amerika Syarikat, yang berlangsung dari 10 hingga 25 Julai 2026.
Marq merupakan antara empat wakil Malaysia yang menyertai program tajaan penuh Kerajaan Amerika Syarikat melalui U.S. Department of State.
Selain Malaysia, program berkenaan turut disertai delegasi dari Jerman, Colombia, Turkmenistan, Hong Kong dan Kenya.

Pemilihan Marq dibuat selepas beliau berjaya melalui proses saringan yang diadakan di KV Keningau, yang dipilih oleh Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur untuk menghantar seorang wakil berdasarkan kecemerlangan institusi itu dalam bidang sukan, Bahasa Inggeris, akademik dan projek komuniti.
Pelajar Seni Kulinari itu kini mengikuti program selama dua minggu yang berpusat di Boston University, merangkumi kuliah berkaitan sukan, latihan dan perlawanan bola sepak dan bola tampar, selain lawatan budaya untuk memberi pendedahan kepada peserta mengenai masyarakat dan sistem di negara berkenaan.
Program itu merupakan sebahagian daripada kempen Freedom 250, sempena sambutan ulang tahun ke-250 pembentukan Amerika Syarikat.

Menurut Marq, peluang berkenaan merupakan satu pengalaman yang amat bermakna kerana beliau bukan sahaja membawa nama Malaysia, malah Sabah dan Kolej Vokasional di bawah Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknik dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Saya berasa sangat bertuah kerana terpilih menyertai program ini. Lebih membanggakan kerana saya bukan sahaja mewakili Malaysia, tetapi turut membawa nama Sabah dan Kolej Vokasional Keningau ke peringkat antarabangsa,” katanya.
Marq dijangka tiba di Malaysia pada 27 Julai ini selepas menamatkan program tersebut.
Sementara itu, Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang berkata, kejayaan Marq membuktikan pelajar kolej vokasional berupaya bersaing dan menyerlah di pentas antarabangsa.
“Pencapaian ini melambangkan bagaimana pelajar-pelajar Kolej Vokasional boleh melangkah jauh ke pelusuk dunia dan ini membuktikan bahawa pendidikan di Kolej Vokasional mampu melengkapkan pelajar dengan baik untuk menghadap dunia luar,” ujarnya.

