Pelajar KV Keningau Rangkul Kejuaraan Pertandingan Kemahiran Kebangsaan

KUALA LUMPUR: 9 September 2025 – Pelajar Kolej Vokasional (KV) Keningau, Chriscaseyvel Erey, 18, mencipta sejarah apabila muncul juara kategori Bahan Bantu Mengajar dalam Pertandingan Kemahiran Kebangsaan yang diadakan di KV ERT Setapak.

Pertandingan anjuran Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), Kementerian Pendidikan Malaysia itu dilaksanakan buat julung kali dengan penyertaan 14 peserta daripada tujuh kolej vokasional yang menawarkan program Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Chriscaseyvel membawa pulang sijil penghargaan dan wang tunai RM300 selepas menghasilkan bahan bantu mengajar bertemakan hidupan laut dalam bentuk kotak akuarium yang boleh dibuka dan ditutup, dihias dengan pemandangan dasar laut.

Semasa sesi pembentangan, beliau menggunakan teknik penceritaan dan demonstrasi interaktif seolah-olah sedang mengajar kanak-kanak.

Hasil kreativiti dan teknik penyampaian itu membolehkannya meraih markah tertinggi.

Tempat kedua dimenangi peserta dari KV Kuala Kangsar, Perak, manakala tempat ketiga diraih wakil KV Tawau, Sabah.

Seorang lagi pelajar KV Keningau, Rusell Razali, menduduki tempat kelima.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menyifatkan pencapaian itu sebagai sejarah kerana Chriscaseyvel menjadi juara pertama kategori baharu tersebut.

Beliau berharap kejayaan ini menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk meningkatkan kemahiran teknikal dan kreativiti.

KV Keningau turut mewakili Sabah dalam tujuh kategori lain pertandingan KV Skills peringkat kebangsaan tahun ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal