“Pegawai Adat bukan seorang Hakim” – Arifin

ec519d3b e279 4ce7 85dd 70124ff1c138 1DF15285 DA1C 49A5 994E F11F626DB3FE

KOTA KINABALU: 23 Julai 2026 – Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif menegaskan jawatan Pegawai Adat yang diwujudkan menerusi Rang Undang-Undang Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (Pindaan) 2026 tidak akan mengambil alih fungsi Mahkamah Anak Negeri, sebaliknya menjalankan tugas penyiasatan dan pengendalian prosiding berkaitan adat.

Menggulung perbahasan Rang Undang-Undang itu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini, beliau berkata pewujudan jawatan berkenaan merupakan antara pembaharuan penting yang diperkenalkan bersama Rang Undang-Undang Mahkamah Anak Negeri 2026 dan Rang Undang-Undang Ketua Daerah, Ketua Anak Negeri dan Ketua Kampung 2026.

“Saya ingin menegaskan bahawa Pegawai Adat bukan seorang Hakim. Pegawai Adat tidak mendengar atau memutuskan kes. Fungsi kehakiman kekal dilaksanakan oleh Mahkamah Anak Negeri secara bebas,” katanya.

Arifin berkata Pegawai Adat akan dilantik daripada kalangan anggota perkhidmatan awam negeri yang berkelayakan dan mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai adat dan undang-undang adat Anak Negeri.

Menurut beliau, Pegawai Adat akan menerima dan menyiasat laporan berkaitan pelanggaran atau kesalahan terhadap adat dan undang-undang adat Anak Negeri, selain menjalankan siasatan serta memulakan, mengendalikan atau memberhentikan prosiding di hadapan Mahkamah Anak Negeri.

Beliau berkata pemisahan fungsi itu penting bagi memastikan tugas penyiasatan dan pengendalian prosiding tidak bercampur dengan fungsi penghakiman yang kekal di bawah Mahkamah Anak Negeri.

Selain mewujudkan jawatan Pegawai Adat, Arifin berkata pindaan itu turut memperluaskan peranan Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) untuk menasihati Kerajaan Negeri mengenai pendidikan adat dan undang-undang adat Anak Negeri supaya adat bukan sahaja dipelihara sebagai warisan, malah terus difahami dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Katanya, MHEANS juga diberi peranan membuat syor kepada Ketua Hakim mengenai pelantikan Tetua, namun kuasa pelantikan kekal di bawah Ketua Hakim bagi memastikan kebebasan institusi kehakiman terus terpelihara.

“Penglibatan Majlis akan membantu memastikan individu yang disyorkan mempunyai pengetahuan, pengalaman dan kewibawaan dalam adat. Namun demikian, kuasa pelantikan Tetua kekal pada Ketua Hakim.”

Beliau berkata pindaan itu turut memasukkan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah atau wakilnya sebagai ahli ex officio MHEANS, selain menambah bilangan ahli lantikan daripada enam kepada tidak melebihi sembilan orang bagi membolehkan penyertaan lebih meluas daripada individu yang mempunyai pengetahuan khusus mengenai adat dan undang-undang adat Anak Negeri.

Mengakhiri penggulungannya, Arifin berkata pindaan itu tidak bertujuan menghakis identiti atau keunikan adat Anak Negeri, sebaliknya memperjelaskan fungsi setiap institusi bagi memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem pentadbiran dan kehakiman adat di Sabah.

“Pindaan ini tidak bertujuan menghakis identiti atau keunikan adat Anak Negeri. Sebaliknya, pindaan ini menyediakan susunan perundangan dan pentadbiran yang lebih jelas supaya adat dan undang-undang adat dapat dipelihara serta dilaksanakan secara lebih teratur dan berkesan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal