Patuhi Perintah Mahkamah, Tunaikan 40 Peratus Hak Perlembagaan Sabah – Dr Jeffrey

ddjk mug pic 2

KOTA KINABALU: Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Sabah menegaskan Kerajaan Persekutuan wajib mematuhi perintah Mahkamah Tinggi dengan segera bagi menunaikan agihan 40 peratus hasil Sabah yang dikutip Kerajaan Persekutuan, selaras dengan hak perlembagaan Sabah.

Presiden STAR Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan berkata keputusan Mahkamah Tinggi, termasuk tempoh masa yang ditetapkan, adalah bersifat mandatori dan bukan pilihan.

“Hak 40 peratus adalah hak perlembagaan Sabah, bukan ihsan politik, bukan peruntukan pembangunan, dan bukan sesuatu yang boleh ditangguh, dikurangkan atau ditafsir semula mengikut keselesaan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Dr Jeffrey, yang juga Ahli Parlimen Keningau, menegaskan bahawa selepas tamat tempoh semakan selama 90 hari seperti yang diperintahkan mahkamah, hak perlembagaan tersebut sepatutnya telah dilaksanakan sepenuhnya.

Menurut beliau, mesyuarat atau perbincangan yang bersifat prosedur tanpa hasil substantif tidak boleh dianggap sebagai pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan mahupun perintah mahkamah.

“Penegasan bahawa perkara ini berada dalam agenda Kabinet Persekutuan adalah tidak memadai sekiranya tiada ketelusan data, termasuk jumlah hasil yang diperoleh dari Sabah, kaedah pengiraan, serta mekanisme pelaksanaan yang jelas dan terikat dengan tempoh masa tertentu,” katanya.

Dr Jeffrey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambunan menegaskan bahawa perbelanjaan Kerajaan Persekutuan di Sabah bagi sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan merupakan tanggungjawab asas Persekutuan kepada semua negeri, dan tidak boleh dijadikan alasan untuk menafikan atau mengimbangi hak perlembagaan Sabah.

Beliau berkata, Sabah telah menunggu terlalu lama, dan sebarang kelewatan lanjut hanya akan mengukuhkan persepsi bahawa 40  peratus hak perlembagaan Sabah ini terus diketepikan atas pertimbangan politik.

“Sabah tidak meminta belas ihsan, Sabah menuntut apa yang menjadi haknya di bawah Perlembagaan Persekutuan dan yang telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dilaksanakan,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Jeffrey menegaskan Kerajaan Persekutuan mesti segera mengubah pendekatan daripada sekadar mengeluarkan kenyataan retorik kepada tindakan nyata, dengan menunaikan kewajipan perlembagaan secara jujur, telus dan bertanggungjawab, selaras dengan perintah mahkamah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal