SEMPORNA: 16 Julai 2025 – Cubaan empat warga asing menyeludup barang kawalan ke luar negara digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah dalam satu operasi di perairan Pulau Boheian, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.10 pagi itu, dua buah bot laju berjaya dipintas oleh anggota rondaan Botronda PPM Semporna yang sedang melaksanakan rondaan keselamatan di kawasan titik panas maritim.
Hasil pemeriksaan, pasukan operasi menemui sebanyak 680 kilogram minyak masak paket produk Malaysia serta 2,005 liter minyak petrol dipercayai cuba diseludup keluar. Nilai keseluruhan rampasan termasuk dua bot dan peralatan lain dianggarkan berjumlah RM79,260.25.
Menurut kenyataan PPM Wilayah 4, keempat-empat suspek berumur antara 16 hingga 38 tahun ditahan untuk siasatan lanjut kerana disyaki cuba menyeleweng barang kawalan.
Kes kini disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak berkuasa percaya taktik menggunakan laluan laut pada waktu malam adalah cubaan untuk mengaburi pihak berkuasa, namun berjaya dipatahkan hasil kecekapan rondaan marin yang berterusan.
PPM Wilayah 4 Sabah menegaskan komitmen mereka untuk terus mempergiat rondaan dan operasi bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan termasuk penyeludupan, pencerobohan pendatang asing tanpa izin dan jenayah maritim lain demi menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.
Sumber: Kenyataan Medai Pasukan Polis Marin Wilayah 4