KOTA BELUD: 30 Disember 2025 — Polis Daerah Kota Belud mengeluarkan 23 saman trafik dan menyita empat buah motosikal dalam Op Motosikal Jalanan yang dijalankan di laluan Pan Borneo berhampiran Pantai Emas bagi mengekang aktiviti samseng jalanan.
Operasi yang diketuai Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Daerah Kota Belud, Inspektor Mohd Firdaus bin Che Mustafa, melibatkan empat anggota dan dijalankan susulan aduan orang awam serta risikan polis.

Menurut beliau, 23 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan, termasuk pengubahsuaian motosikal yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan. Empat motosikal turut disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah pencegahan bagi mengurangkan kemalangan jalan raya serta memastikan keselamatan pengguna jalan raya.
Sumber: Polis Daerah Kota Belud
