KOTA KINABALU: 7 Mei 2026 – Pemenang Randawi Tavantang Kaamatan (RTK) KDCA Sarawak, Oliver Robert, melakar sejarah setelah dipilih mewakili Sarawak ke peringkat negeri di KDCA, yang merupakan penyertaan sulung Sarawak dalam pertandingan berprestij berkenaan.
Oliver meluahkan rasa gembira dan bersyukur atas peluang yang diberikan, dan menganggapnya sebagai penghormatan besar bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk Sarawak secara keseluruhan.

“Sejujurnya, saya berasa amat gembira dan bersyukur atas peluang ini, lebih-lebih lagi ini merupakan penyertaan sulung Sarawak dalam RTK KDCA,” katanya.
Dalam usaha menghadapi pertandingan di peringkat negeri, Oliver giat membuat persediaan rapi termasuk aspek pengetahuan budaya, pemahaman tradisi dan kemahiran persembahan.
Katanya, penjagaan kesihatan juga menjadi keutamaan supaya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
Oliver mengakui kejayaannya tidak akan tercapai tanpa sokongan dari pengurusnya, Muz Mussa, dan ahli keluarganya yang sentiasa memberi dorongan.
Beliau turut menghargai peranan Puan Aidah selaku penyelaras dan Ahli Jawatankuasa RTK KDCA Sarawak yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti.
Sebagai wakil pertama Sarawak, Oliver bertekad menghadapi cabaran dengan penuh disiplin dan keyakinan. Oliver berharap penyertaan ini membuka lebih banyak peluang pada masa hadapan dan memberi inspirasi kepada generasi muda untuk terus memelihara warisan budaya.
