oleh David E.
KOTA KINABALU: 12 Oktober 2026 – Filem MR. FINANCE: Cinta Gadis Autisme, karya pembikin filem tempatan Sabah, menerima suntikan sokongan selepas Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, bersetuju menaja lima dewan tayangan khas di 10Star Cinemas Kubota, Tawau, pada 14 November depan.
Filem terbitan Nautica Production Sdn Bhd itu bukan sahaja mengangkat kisah percintaan, malah membawa mesej kasih sayang, penerimaan dan kesedaran masyarakat terhadap individu autistik.
Pengarah dan penulis skripnya, Jade Morris, berkata filem yang mula ditayangkan pada 8 Oktober lalu itu masih berdepan cabaran mendapatkan sambutan penonton seperti diharapkan.
Beliau berkata, ada pengguna media sosial menyangka filem itu produksi Indonesia sebelum mengetahui ia sebenarnya karya anak Sabah yang dihasilkan menerusi usaha tenaga produksi tempatan.
“Mungkin ada yang melihat poster atau treler kami dan menyangka ini filem luar negara. Tetapi sebenarnya ini filem anak Sabah, hasil usaha kami sendiri.
“Saya berharap orang ramai dapat mengenali filem ini dan memberi peluang untuk menontonnya sebelum menilai,” katanya.
Filem yang dihasilkan menggunakan dana sendiri tanpa bantuan geran pembikinan itu diterajui Jade bersama penerbit Gregory Giting, barisan pelakon dan tenaga produksi tempatan.
Menerusi watak Dani, seorang gadis autistik, filem itu mengajak penonton memahami bahawa individu autistik turut mempunyai perasaan, harapan dan keinginan untuk dicintai seperti insan lain, selain menekankan kepentingan penerimaan tanpa prejudis.
Jade berkata, beliau berharap kisah berkenaan dapat membuka perspektif masyarakat terhadap golongan autistik dan mendorong orang ramai memahami pengalaman hidup mereka dengan lebih terbuka.
Sementara itu, persetujuan Nizam menaja lima dewan tayangan khas itu dicapai menerusi pertemuan bersama Jade, Gregory dan Pembantu Penerbit Fuad Larkins di Wisma MUIS, di sini, hari ini.
Sokongan berkenaan diharap dapat membuka peluang lebih ramai penonton menyaksikan filem itu, sekali gus memperluas mesej kesedaran autisme yang dibawanya.
Jade menyifatkan tajaan itu sebagai suntikan semangat untuk produksi terus memperjuangkan karya tempatan, terutama ketika berdepan kekangan kewangan dan sambutan penonton yang masih rendah.
Beliau turut menggesa masyarakat di Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia supaya memberi peluang menonton filem berkenaan selagi masih ditayangkan di pawagam, selain berharap sokongan terhadap karya anak Sabah dapat membuka ruang lebih banyak penerbitan tempatan pada masa depan.
– TV Sabah

