KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Gagasan Rakyat, Datuk Azrul Ibrahim, menegaskan pemilikan MyKad bukan alasan untuk menceroboh atau menduduki tanah kerajaan tanpa kebenaran.
Beliau yang juga Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sabah berkata, isu penempatan setinggan yang berlarutan sejak puluhan tahun di Sabah, termasuk di Kampung Pondo, Pulau Gaya, tidak wajar dinilai berdasarkan status dokumen pengenalan diri semata-mata.
“Memiliki kad pengenalan tidak dengan sendirinya memberikan hak untuk menduduki atau membangunkan tanah kerajaan tanpa kebenaran. Prinsip kedaulatan undang-undang dan hak milik tanah perlu dihormati dan dilaksanakan secara adil,” katanya dalam kenyataan.
Azrul berkata, kerajaan Sabah di bawah pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, kekal komited melaksanakan penguatkuasaan meskipun berdepan kritikan dan tentangan pihak tertentu.
Jelas beliau, penempatan setinggan tidak terkawal bukan sahaja menjejaskan perancangan pembangunan jangka panjang Sabah, malah menimbulkan risiko kebakaran, masalah pengurusan sampah dan sanitasi, keselamatan dan kesukaran menyediakan kemudahan asas secara teratur.
Beliau turut mengingatkan pihak luar supaya mendapatkan fakta tepat dan memahami realiti di lapangan sebelum membuat kesimpulan atau mencampuri urusan pentadbiran Sabah.
Azrul menegaskan, isu itu bukan sekadar soal sentimen, sebaliknya melibatkan tanggungjawab kerajaan negeri dalam mengurus tanah, melindungi kepentingan awam dan memastikan keselamatan dan pembangunan Sabah terpelihara.
