TAWAU: 19 Julai 2025 – Polis berjaya menahan dua lelaki tempatan dan merampas sejumlah dadah serta hampir 900 butir peluru senapang angin dalam satu pemeriksaan sekatan jalan raya di Jalan Timur, hari ini.
Kejadian berlaku semasa sepasukan anggota Unit MPV Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menjalankan penugasan ‘Snap Spotcheck’ rutin.
Sebuah van yang dipandu dalam keadaan mencurigakan telah ditahan untuk pemeriksaan lanjut.
Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berusia 35 tahun tidak memiliki lesen memandu dan juga memiliki satu bekas plastik lutsinar berisi ketulan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat kira-kira 0.14 gram.
Pemeriksaan lanjut ke atas van yang dinaiki turut menemui satu plastik hitam mengandungi sekitar 890 butir peluru yang dipercayai milik penumpang lelaki berusia 47 tahun.
Kedua-dua suspek serta semua barangan rampasan telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan lanjut.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 8(a), Akta Senjata 1960 atas kesalahan pemilikan peluru tanpa lesen sah, Seksyen 12(2), Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah, dan Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952 melalui penyalahgunaan dadah.
Polis Daerah Tawau terus komited dalam usaha membanteras jenayah narkotik dan pemilikan senjata secara haram bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat sentiasa terpelihara.
Sumber: Polis Daerah Tawau