Mount Kinabalu International Climbathon Edisi ke-32: Timpohon Run 2025 sebagai Pembuka Tirai

KOTA KINABALU: 18 Oktober 2025 — Timpohon Run 2025 menjadi pembuka tirai kepada Mount Kinabalu International Climbathon edisi ke-32 yang akan berlangsung esok dengan menyaksikan pelari dari dalam dan luar negara menyertai perlumbaan sejauh 9.8 kilometer di UNESCO Global Geopark, Sabah.

Dalam saingan tersebut, pelari tempatan Donal Rondandi Lasius dari Tambunan telah muncul sebagai juara bagi kategori Terbuka Lelaki dengan catatan masa 48 minit 48 saat, sementara, Yeung Mei Lin dari Hong Kong menjuarai kategori Terbuka Wanita dengan catatan masa 1 jam 14 minit 35 saat.

Kejayaan kedua-dua pelari ini menyerlahkan keupayaan peserta tempatan dan antarabangsa beraksi dalam cabaran gunung yang mencabar.

Laluan perlumbaan bermula di Dewan Kinabalu menuju ke Pintu Gerbang Timpohon, melalui Laluan Mempening dan Restoran Liwagu sebelum kembali ke garisan penamat.

Laluan ini bukan sahaja menguji ketahanan fizikal pelari, malah memperlihatkan keindahan alam semula jadi hutan pergunungan yang terdapat Sabah.

Peserta diberi masa empat jam 30 minit untuk menamatkan perlumbaan dan petugas keselamatan ditempatkan di sepanjang laluan bagi memastikan kelancaran serta keselamatan acara.

Lima pelari terbaik kategori lelaki dan wanita menerima hadiah wang tunai antara RM150 hingga RM500 sebagai penghargaan atas prestasi cemerlang mereka.

Pelepasan rasmi telah disempurnakan oleh Penolong Kanan Setiausaha Ketua Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Encik Hisham bin Ujang.

Beliau menegaskan bahawa acara seperti ini bukan sahaja mempromosikan pelancongan eko-pengembaraan tetapi juga memperkukuh imej Sabah sebagai destinasi pelancongan berasaskan alam semula jadi.

Acara kemuncak, Mount Kinabalu International Climbathon yang dijadualkan esok dengan penyertaan pelari elit dan amatur dari pelbagai negara dijangka akan memberikan saingan perlumbaan gunung paling ikonik di dunia, sekali gus mengangkat nama Sabah di pentas sukan lasak antarabangsa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!


 

This will close in 5 seconds

TV Sabah | News Portal