Menangis hampir setiap hari, Christal Juara Sugandoi 2026

Christal c1

Oleh David E.

Dipaksa menyertai pertandingan, bergaduh dengan kakak-kakak, menangis hampir setiap hari. Namun itulah jalan yang membawa Christal menjadi juara Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2026. Anak ketiga daripada lima beradik ini bukan sahaja menjuarai Sugandoi Zon Sulaman (2018) dan Sugandoi Daerah Tuaran (2026), tetapi dinobatkan sebagai juara Sugandoi Peringkat Negeri Sabah 2026.

Christal 2

Christal Ann Stephen, berusia 25 tahun, dari Tuaran, memegang Ijazah dalam Pendidikan Muzik (Degree in Music Education) yang merancang meneruskan pengajian ke peringkat master berkata, “Saya sekarang sedang tunggu panggilan Suruhanhjaya Perkhidmatan Pendidikan. Untuk sementara ini, saya sedang bekerja sebagai freelance photographer dan saya mengurus studio (Ilmare Selfphotoshoot Studio) di Tuaran, bisnes keluarga.”

Christal c5
Untitled design – 2

Sebagai anak kepada pengusaha produk tempatan, Christal mengasah suaranya secara semulajadi sebelum mendapatkan latihan dan tips dari dua ikon, juara Sugandoi 2015, Apprilissa Sue Ann dan pensyarah Vokal Ensemble dan Koir di UiTM Cawangan Sabah, Rhowell Roland Raymond, untuk persiapan sugandoi daerah dan peringkat negeri.,

Christal c4

“Secara teknikal, Apprilissa seorang penyanyi yang hebat. Dia menyokong bakat baharu yang membawa kelainan di mana-mana pentas, dan dia faham bagaimana sepatutnya industri muzik hari ini.

“Kedua-dua mereka menekankan kefahaman terhadap lagu supaya dapat menyampaikannya dengan baik. Namun, Rhowell lebih fokus kepada teknik vokal. Secara peribadi, Rhowell lebih merupakan mentor kerana beliau sering berhubung untuk memantau perkembangan vokal saya.

“Tetapi saya berguru bukan mereka berdua sahaja. Mereka ialah arwah Sir Amri Zane, Sir Aruel, Puan Lilis, dan Puan Jamillah. Perjalana untuk sampai ke tahap ini tidak semudah – bukan kerja sebulan dua bulan,” katanya.

Christal memegang Diploma dalam Persembahan Muzik dan Ijazah dalam Pendidikan Muzik, dengan major vokal dalam kedua-dua pengajian.

“Pada dasarnya, saya juga menjadi mentor untuk diri saya sendiri. Saya amalkan dan praktikkan apa yang telah dipelajari, dengan mendengar suara sendiri dan memperbaik apa yang perlu. Saya belanjakan wang untuk kelas vokal – persiapan saya lebih tertumpu kepada vokal.

Untuk penyusunan lagu, Christal sudah tahu apa yang diingini – instrument, emosi, dan kerangka lagu – hanya memerlukan bantuan rakan untuk memprogramkan lagu tersebut.

Untuk lagu kedua, Christal sengaja memilih genre disko dan jazz untuk mengurangkan tekanan, katanya, “Saya gabungkan disko dan jazz dalam satu lagu. Kedua-dua genre ini, saya boleh katakan, sebagai bidang kepakaran saya. Saya menjadikannya lebih menyeronokkan – sesuatu yang boleh saya nyanyikan tanpa rasa tertekan dan gementar di atas pentas.”

Ketika ditanya tentang cabaran, Christal berkata, “Cabaran utama ialah mental saya. Saya dipaksa oleh keluarga saya untuk menyertai pertandingan sugandoi dan setiap tahun sejak 2018 akan ada sesi bergaduh dengan kakak-kakak saya, sebab saya tidak mahu ikut sugandoi” katanya sambil tergelak ketawa.

“Saya tidak suka bertanding dan saya tidak pernah faham definisi sebenar “pertandingan”, sebab semua orang sudah hebat kalau dia betul-betul menguasai talenta yang Tuhan bagi. Itu mindset saya. Namun akhirnya saya ikut juga untuk memuaskan hati adik-beradik dan ibubapa saya, walaupun betul-betul terpaksa.

“Mereka betul-betul percaya saya boleh buat sampai tahap ini. Mereka menyokong saya dari sebelum bermula hingga ke pencapaian yang saya dapat sekarang. Cabaran utama adalah diri saya sendiri,” jelas Christal

Pasti ramai tertanya-tanya bagaimana Christal atasi stress kena suruh ikut sugandoi. “Nike said, Just do it! Dari mula sampai habis, saya bertahan sahaja walaupun setiap hari menangis,” katanya dengan mata sedikit basah dalam senyuman penuh makna.

“Saya ada penyokong kuat yang selalu positifkan saya setiap hari – tunang saya dan kawan baik saya. Kalau dia tiada, mungkin saya sudah tarik diri,” katanya dengan tawa kecil.

Christal dalam pertandingan akhir sugandoi membawa tiga buah lagu, Pitongkizadan (lagu wajib), Mandad Sisimba Bulangou (Medley) dan Pinirubaan Toh (Trio).

Apakah agaknya perasaan ketika terdengar nama disebut sebagai johan, Christal berkata, “Saya terkejut. Sebab saya saya tidak pernah sasar untuk menang. Tiadapun dalam doa saya mahu jadi pemenang. Saya rasa semua peserta layak menang. Namun turut gembira sebab keluarga saya gembira yang saya menang.”

Christal c3

“Saya rasa persiapan keluarga saya lebih banyak berbanding persiapan saya untuk bertanding. Adik-beradik dan ibubapa saya, merekalah yang paling gembira,” kata Christal.

Menjadi Johan Sugandoi biasanya membuka pintu ke industri rakaman atau menjadi artis jemputan di majlis-majlis rasmi, malah menceburi bidang seni secara profesional. Christal berkata, “Saya sebenarnya sudah ada karya sendiri. Sebelum saya betul-betul layak di bidang mainstream, saya sudah ada beberapa singles. Saya dan kawan baik saya dari semenanjung selalu bekerjasama dan membuat Original Sound Track untuk pementasan theatre dan filem.

“Saya juga mempunyai nama pentas, Ilmare. Saya bekerjasama dengan artist Malaysia juga, bermula dari independent scene.”

Christal bukan sahaja penyanyi tetapi juga penulis lagu dan memproses rakaman dengan bantuan rakan-rakan. “Alat-alat muzik asas yang saya boleh goreng ialah guitar dan piano,” ujarnya.

“Selepas sugandoi 2026 saya merancang untuk membuat karya dan membawa kelainan. Itu sahaja yang saya dapat fikirkan setakat ini,” katanya.

Pesan Christal untuk semua, “Kemenangan hanya tertunda dan teruslah mencuba. Tips paling penting dalam dunia, ambil kelas vokal, labur lebih untuk vokal kamu. Untuk yang belum pernah menyertai, cubalah. Yakinkan diri, sebab anda tidak tahu apa yang akan datang untuk anda.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal