MA63 Diiktiraf, Sabah Kini Tumpu Pelaksanaan – Yong

photo 6309929324814994852 y

KOTA KINABALU: 22 Januari 2026 – Parti Maju Sabah (SAPP) menegaskan bahawa perjuangan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) telah mencapai kemenangan dari segi pengiktirafan, dan tumpuan kini perlu diberikan sepenuhnya kepada pelaksanaan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah.

Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee berkata, “MA63 tidak lagi wajar diperdebatkan kerana kedudukannya telah diterima di peringkat nasional, sebaliknya kegagalan melaksanakannya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan rakyat Sabah.”

Menurut beliau, kejayaan pelaksanaan MA63 bukan sahaja penting untuk Sabah, malah akan menyumbang kepada kestabilan dan keharmonian negara secara keseluruhan.

Yong berkata, “SAPP mula menonjolkan isu MA63 ke peringkat nasional semasa Pilihan Raya Kecil Batu Sapi pada Oktober 2010, apabila Barisan Nasional yang memerintah ketika itu terpaksa mengiktiraf MA63 sebagai isu nasional, walaupun SAPP tidak memenangi pilihan raya kecil berkenaan.”

Beliau turut mengimbas perubahan landskap politik negara pada tahun 2008 apabila Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen dan memerlukan sokongan Ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak untuk mengekalkan majoriti mudah, sekali gus membuka ruang kepada tuntutan hak-hak negeri di bawah MA63.

Katanya, penubuhan sebuah kementerian khusus untuk menyelia pematuhan MA63 juga mencerminkan kebergantungan Kerajaan Persekutuan terhadap negeri-negeri Borneo.

Dalam pada itu, Yong berkata SAPP memberi penekanan kepada pembinaan kepimpinan jangka panjang, dengan separuh daripada Ahli Majlis Tertinggi parti hari ini terdiri daripada graduan kem belia SAPP lebih 25 tahun lalu.

“Sebahagian daripada pemimpin muda ini akhirnya akan menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah,” katanya.

Beliau turut menyifatkan perjuangan politik sebagai satu proses jangka panjang, sambil merujuk beberapa isu Sabah yang mengambil masa bertahun-tahun untuk direalisasikan, termasuk pengiktirafan Hari Sabah pada 2022 selepas 12 tahun kempen, serta penyahklasifikasian Laporan Nahas Udara Double Six pada 2023 selepas lebih satu dekad peringatan tahunan.

Selain itu, beliau berkata kempen Borneonisasi perkhidmatan awam juga mengambil masa lebih 10 tahun sebelum menunjukkan hasil ketara, dengan kebanyakan jabatan Persekutuan di Sabah kini diterajui rakyat Sabah.

Menjelang 2030, Yong menegaskan tiga perjuangan teras Sabah masih belum diselesaikan, iaitu pengembalian Labuan, isu pengeluaran IC Sabah, dan reformasi tanah untuk rakyat Sabah.

Seiring dengan MA63 memasuki fasa pelaksanaan, beliau berkata perhatian kini perlu diberikan kepada hala tuju geoekonomi Sabah dalam menghadapi perubahan global.

“Ramai di antara kita masih belum menyedari bahawa aturan dunia baharu sedang melanda kita,” katanya, sambil menegaskan bahawa teknologi, tenaga dan makanan kini digunakan sebagai alat tekanan dalam hubungan antarabangsa.

Menurut Yong, walaupun Malaysia tidak mampu mengawal perubahan global tersebut, Sabah perlu menyesuaikan diri, meningkatkan daya saing dan terlibat secara berkesan dalam hubungan ekonomi serantau dan antarabangsa demi kemakmuran jangka panjang negeri itu.

Sumber: Pemuda SAPP SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal