Lima Termasuk Jurutera PBT Direman, Disyaki Terima Rasuah RM200,000

SANDAKAN: 24 Julai 2025 – Lima individu termasuk seorang jurutera dan penolong jurutera pihak berkuasa tempatan (PBT) di Sabah direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan nilai keseluruhan kira-kira RM200,000.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Yong Ching Hong di Mahkamah Majistret Sandakan pagi tadi, selepas permohonan dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kelima-lima suspek terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita berusia antara 30 hingga 50-an, yang merupakan jurutera, penolong jurutera serta kakitangan dan bekas kakitangan PBT di Sabah.

Mereka ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah sekitar jam 7 malam semalam.

Siasatan awal mendapati, sejak tahun 2022, beberapa pegawai dan kakitangan PBT berkenaan dipercayai telah menerima wang rasuah secara pindahan ke akaun peribadi masing-masing dari kontraktor yang menjalankan projek di bawah seliaan PBT terbabit.

Wang rasuah tersebut dipercayai sebagai habuan kerana membantu mendapatkan sebut harga dan tender bagi kerja-kerja yang dilaksanakan sepanjang tempoh 2022 hingga 2025.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan, jika sabit kesalahan.

Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti keterlibatan pihak lain yang berkaitan.

Sumber: Sabah News Today

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal