Oleh: Nurul Fazliana Norman
KOTA KINABALU: 1 September 2026 – Lima stesen pemantauan kualiti udara di Sabah mencatatkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada tahap tidak sihat setakat jam 5 petang hari ini, berikutan keadaan jerebu rentas sempadan yang dipercayai berpunca dari kebakaran hutan dan tanah gambut di Kalimantan.
Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sabah dalam kenyataan media hari ini memaklumkan lima stesen berkenaan ialah Kota Kinabalu dengan bacaan IPU 177, Kimanis (166), Keningau (165), Politeknik (159) dan Tawau (153).
Bagaimanapun, Stesen Sandakan masih merekodkan bacaan pada tahap sederhana iaitu 93.
Menurut JAS, jerebu rentas sempadan itu berlaku akibat asap dari kebakaran di Kalimantan dibawa angin merentasi wilayah Borneo termasuk ke Sabah.
Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 31 Ogos, sebanyak 253 titik panas dikesan di Kalimantan dan 63 di Sumatera, manakala tiada titik panas dikesan di Sabah berdasarkan imej satelit NOAA-20.
JAS turut meningkatkan rondaan harian di kawasan Kota Kinabalu, Penampang, Papar, Beaufort, Sandakan dan Tawau untuk mengesan aktiviti pembakaran terbuka, khususnya di kawasan sensitif dan lokasi berhampiran stesen pemantauan kualiti udara.
Setakat ini, sebanyak 492 rondaan Operasi Mencegah Pembakaran Terbuka (OMPT) dilaksanakan.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan bacaan IPU terkini melalui laman sesawang JAS atau aplikasi MyJAS EQMS dan mengelakkan aktiviti pembakaran terbuka.
JAS turut mengingatkan orang ramai bahawa kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 29(A), Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Orang ramai juga diminta melaporkan kejadian pembakaran terbuka atau kebakaran kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat di talian 999 atau JAS di talian 1-800-88-2727.

