TAWAU: 16 Jun 2026 – Seorang lelaki warga asing ditahan oleh polis kerana disyaki memiliki dadah jenis syabu dalam satu operasi rondaan cegah jenayah di Kampung Blok 31, Tawau, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, suspek yang berusia 23 tahun itu ditahan hasil maklumat awam mengenai aktiviti mencurigakan di kawasan berkenaan.
Menurut beliau, suspek bertindak cuba melarikan diri sebaik sahaja pemeriksaan hendak dijalankan, namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan dengan anggota polis.
“Ketika itu, suspek didapati mencampakkan satu objek ke atas tanah yang kemudiannya diperiksa dan didapati mengandungi satu paket plastik lutsinar berisi bahan hablur jernih yang disyaki dadah jenis syabu seberat lebih kurang 0.14 gram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ACP Jasmin memaklumkan, suspek yang beralamat di Kampung Batu 14, Jalan Apas, Tawau itu kini ditahan bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Barang kes yang dirampas telah dibawa ke Balai Polis Tawau untuk tindakan selanjutnya.
Beliau turut menegaskan komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperhebat usaha membanteras penyalahgunaan dadah melalui rondaan, pemantauan serta operasi berterusan di kawasan yang dikenal pasti berisiko.
Sehubungan itu, orang ramai diseru agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu membanteras kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah demi menjamin keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
Sumber: Polis Daerah Tawau
