Lelaki 34 tahun ditahan kerana dua kali rosakkan kereta jiran

WhatsApp Image 2026 11 26 at 11.29.46 AM

Oleh: Zaidul Khair bin Jungkim

TAWAU: Tindakan seorang lelaki merosakkan kereta milik jiran sebanyak dua kali membawa padah selepas dia ditahan polis kurang 24 jam dari kejadian terbaharu di Perumahan Rakyat, Taman Bukit Tawau, semalam.

Suspek berusia 34 tahun itu ditahan kira-kira jam 9.40 pagi oleh sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai ketika berada di kawasan perumahan itu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Rosdi Mat Jusoh, berkata penahanan itu hasil tindakan susulan terhadap dua laporan polis berhubung kejadian khianat pada 10 November dan 25 November.

Katanya, kejadian pertama berlaku kira-kira jam 4 petang pada 10 November. Mangsa dimaklumkan jirannya bahawa kereta miliknya yang diletakkan di kawasan parkir dirosakkan individu tidak dikenali.

Pemeriksaan mendapati beberapa bahagian kenderaan mengalami kerosakan termasuk cermin sisi.

Kejadian kedua berlaku kira-kira jam 8.45 pagi pada 25 November. Isteri mangsa yang sedang menjemur pakaian terlihat seorang lelaki dikenali menendang cermin sisi kanan kereta sama sehingga pecah.

Mangsa menegur lelaki itu, namun teguran itu tidak diendahkan sebelum suspek meninggalkan lokasi kejadian.

Bertindak atas maklumat diterima, polis menjalankan operasi di kawasan perumahan itu sebelum berjaya mengesan suspek.

Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku terbabit dalam kedua-dua kejadian. Dia kemudian ditahan di pejabat Polis Daerah Tawau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Rosdi menegaskan perbuatan merosakkan harta benda milik orang lain merupakan kesalahan jenayah yang boleh dikenakan tindakan tegas.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal