Legasi Pak Samad dalam kesusasteraan Melayu kekal dikenang

IMG 4406

Oleh: Nurul.N

KUALA LUMPUR: Pemergian Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr. A. Samad Said pada usia 91 tahun meninggalkan kekosongan yang sukar diisi dalam dunia kesusasteraan Melayu. Namun, karya dan legasinya akan terus hidup, dikenang generasi akan datang.

Allahyarham yang lebih mesra dikenali sebagai Pak Samad dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka. Beliau mula membina kerjaya dalam dunia penulisan sejak usia muda, menjadikan pena sebagai teman setia sepanjang hayatnya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang kesusasteraan, beliau menghasilkan pelbagai karya merangkumi novel, puisi, cerpen dan drama yang mengangkat kehidupan masyarakat, kemanusiaan dan realiti sosial.

Antara karya paling terkenal ialah novel Salina yang diterbitkan pada 1961. Turut dihasilkan Sungai Mengalir Lesu, Langit Petang, Hujan Pagi dan Daerah Zeni.

Novel Salina menjadi antara karya penting dalam kesusasteraan Melayu dan mendapat pengiktirafan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Sumbangan besar Allahyarham dalam bidang penulisan melayakkan beliau menerima pelbagai pengiktirafan, termasuk Anugerah Penulis Asia Tenggara (S.E.A. Write Award) pada 1979 sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Negara Keempat pada 1985.

Beliau turut menerima Anugerah Merdeka 2024 sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan sepanjang hayatnya dalam bidang kesusasteraan.

Pak Samad turut mempunyai pengalaman luas dalam bidang kewartawanan apabila pernah berkhidmat dengan beberapa organisasi media, termasuk Utusan Melayu dan Berita Harian.

Allahyarham juga dikenali sebagai tokoh yang lantang memperjuangkan martabat bahasa Melayu termasuk menyuarakan isu berkaitan masyarakat dan negara.

Pemergian beliau pada 24 November 2026 di Hospital Kuala Lumpur mengakhiri perjalanan seorang tokoh yang menjadikan penulisan sebagai wadah menyampaikan pemikiran, kritikan sosial dan suara masyarakat.

Bagi pembaca yang membesar dengan karya-karya beliau, nama Pak Samad bukan sekadar nama di kulit buku. Ia adalah suara yang pernah menemani malam-malam panjang, membawa pembaca menyelami kehidupan dan rasa kemanusiaan.

Jenazah Allahyarham disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara, Kuala Lumpur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal