KV Keningau wakil Malaysia penerima tunggal geran antarabangsa

photo 2026 07 03 23 46 41

KENINGAU: 3 Jun 2026 – Program Teknologi Elektrik Kolej Vokasional (KV) Keningau mengharumkan nama Malaysia apabila menjadi satu-satunya penerima YouthMADE Festival Amplify Grant 2026 dari Malaysia menerusi projek khidmat komuniti Volt Prihatin, sekali gus menerima geran bernilai USD500 (kira-kira RM2,000) untuk memperluaskan pelaksanaan projek berimpak tinggi itu.

Geran yang ditaja oleh Digital Promise menerusi YouthMADE Festival dengan sokongan syarikat teknologi Ciena itu diberikan kepada hanya 27 projek belia dari 18 negara, selepas melalui proses pemilihan melibatkan lebih 160 permohonan dari seluruh dunia.

Projek Volt Prihatin menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan dan pemasangan sistem pendawaian dan peralatan elektrik secara percuma kepada komuniti, termasuk sekolah, rumah kebajikan dan premis awam.

Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, berkata pengiktirafan antarabangsa itu membuktikan usaha berterusan warga kolej dalam melaksanakan khidmat komuniti telah mendapat perhatian di peringkat global.

“Pengiktirafan ini membuktikan pendidikan vokasional bukan sahaja melahirkan tenaga kerja mahir, malah membentuk pelajar yang memiliki nilai kemanusiaan, semangat kesukarelawanan dan keprihatinan terhadap masyarakat,” katanya.

Jelasnya, kejayaan itu turut mencerminkan kemampuan pelajar kolej vokasional menghasilkan projek yang bukan sahaja mengaplikasikan kemahiran teknikal, malah memberi manfaat secara langsung kepada komuniti setempat.

Inisiatif itu turut memperkenalkan konsep “repair café”, yang membolehkan orang ramai mendapatkan khidmat membaiki perkakas elektrik secara percuma sambil mempelajari proses pembaikan dari pelajar.

Antara lokasi yang pernah menerima manfaat projek tersebut ialah SK Kampung Bariawa Ulu dan Rumah Kanak-Kanak Bondulu Toboh, Tambunan, menerusi kerja-kerja penyelenggaraan sistem elektrik dan pemasangan peralatan di premis berkenaan.

Projek berkenaan diasaskan oleh guru Program Teknologi Elektrik, Junaidah Tahir, sebelum diteruskan oleh barisan guru kolej selepas beliau berpindah ke Tawau. Kesinambungan projek itu memastikan pelajar baharu terus dibimbing untuk memanfaatkan kemahiran teknikal mereka dalam membantu masyarakat.

Menurut senarai rasmi penerima geran, Volt Prihatin dipilih kerana pendekatan pelajar Program Teknologi Elektrik KV Keningau yang menyediakan perkhidmatan membaiki dan menyelenggara soket, lampu, kipas, pelbagai peralatan elektrik di sekolah, rumah kebajikan, kediaman dan rumah ibadat secara percuma.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal