KV Keningau Unggul di FesKoV 2025, Raih Kejuaraan dalam Kategori Nyanyian dan Kugiran

Share the news


Putrajaya, 7 Julai 2025 – Kolej Vokasional (KV) Keningau mengharumkan nama institusi dengan pencapaian gemilang dalam Festival Seni Kolej Vokasional (FesKoV) peringkat kebangsaan 2025 yang berlangsung di lobi Shaftsbury Putrajaya pada 6 Julai 2025. Pasukan KV Keningau berjaya merangkul kejuaraan dalam dua kategori utama iaitu nyanyian solo lelaki KV Terukir di Bintang dan kategori kugiran KV Battle of the Band.


Ikmal Rezza J. Padasian, pelajar KV Keningau, berjaya memukau para juri dan penonton dengan persembahan vokalnya yang mantap dalam kategori solo lelaki. Beliau membawakan lagu popular tempatan, “Ku Cinta Pada Mu” nyanyian asal Hazami, dengan penuh penghayatan dan berjaya meraih gelaran johan. Kumpulan kugiran KV Keningau, yang dikenali sebagai D’ Buvazoi, turut menunjukkan kehebatan mereka dalam kategori kugiran dengan medley lagu-lagu seperti “Beggin’”, “Gerhana Cinta Luka”, dan “Juwita”. Persembahan bertenaga dan padu mereka membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai juara.


Selain daripada kejuaraan dalam dua kategori utama, Ikmal Rezza turut memenangi Anugerah Vokal Terbaik atas bakatnya yang menyerlah. D’ Buvazoi pula menerima Anugerah Khas dari penganjur, Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV) Kementerian Pendidikan Malaysia, sebagai pengiktirafan atas kreativiti dan keunikan persembahan mereka. Kemenangan ini membawa pulang trofi, sijil penghargaan, dan wang tunai berjumlah RM 2,600 kepada pasukan KV Keningau.


Kugiran D’Buvazoi terdiri daripada Therrence Soan Roystand, Angelbert Lasung Smd Robert, David Benny Ujan Benyamin, Christoper Lajurus, Brandon Zachary David dan Ikmal Rezza. Pasukan KV Keningau ini dibimbing dan dilatih oleh dua orang guru berpengalaman, Syuaib Samijan dan Bibiana Paulus.


Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, yang turut hadir sepanjang festival tersebut, menyatakan rasa bangga dengan pencapaian cemerlang para pelajarnya. Beliau menegaskan bahawa kejayaan ini membuktikan bahawa pendidikan kolej vokasional bukan sahaja tertumpu kepada bidang teknikal dan vokasional, tetapi juga memberi penekanan kepada perkembangan bakat pelajar dalam bidang kesenian seperti nyanyian dan muzik, selain daripada aktiviti sukan, inovasi, pertandingan kemahiran dan bahasa.


FesKoV 2025 yang menggabungkan dua kategori nyanyian ini turut mempertandingkan kategori nyanyian solo wanita dan nyanyian duet, yang masing-masing dimenangi oleh KV Bintulu, Sarawak, dan KV Kudat, Sabah. Majlis perasmian festival ini telah disempurnakan oleh Pengarah BPLTV, Ts. Zulkernai bin Fauzi. Kejayaan KV Keningau di FesKoV 2025 ini membuktikan komitmen dan dedikasi para pelajar dan guru dalam mengharumkan nama kolej di peringkat kebangsaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal