Pasukan Kolej Vokasional (KV) Keningau yang terdiri daripada 33 pelajar telah menyertai 12 bidang yang dipertandingkan di Sabah Hospitality Fiesta yang ke-25 bertempat di Sabah International Convention Centre, Kota Kinabalu, dari 21 sehingga 23 November 2025.
Pasukan tersebut berjaya mengutip empat pingat emas, sepuluh pingat perak dan tiga pingat gangsa seterusnya muncul sebagai juara keseluruhan bagi kategori perantis (apprentice) daripada 14 kolej yang bertanding dalam kategori tersebut buat kali ketiga setelah memenanginya pada tahun 2024 dan 2023. Dengan itu, KV Keningau berjaya menjadi pemilik kekal piala pusingan bagi anugerah tersebut.
Terdapat dua kategori utama iaitu kategori perantis untuk institut-institut pengajian yang menawarkan program hospitaliti dan kategori profesional untuk industri perhotelan dan perlancongan. Pertandingan ini adalah anjuran bersama Malaysian Association of Hotels (MAH), Asian Tourism International (ATI) College berserta Sabah International Convention Centre. Pertandingan ini merupakan pertandingan kebangsaan memandangkan ianya juga menerima penyertaan dari negeri-negeri yang lain.
Penganugerahan pingat dalam pertandingan ini adalah berdasarkan format markah serta tahap dan bukannya berasaskan kedudukan. Iqwan Qhairi Naidu dan Nur Hafiz Mahat yang merupakan pelajar seni kulinari berjaya mendapat pingat emas dalam bidang pertunjukan membuat roti canai secara berdua manakala dua orang pelajar dari program yang sama, Lovelina Lim dan Nur Haziqah Mairah masing-masing meraih pingat emas kategori individu dalam bidang ukiran buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pingat emas keempat disumbangkan oleh Muhd Haziq Eisyraf Masa dan Muhd Danyal Haneef Amdi dalam bidang pertunjukan membancuh Nescafé tarik secara berdua. Pingat perak dan gangsa yang diraih oleh para pelajar bakeri dan pastri serta seni kulinari kontijen kolej ini diperolehi daripada bidang yang sama serta bidang-bidang yang lain iaitu pameran kek, pertandingan memasak, membancuh minuman campuran dan penyiapan meja makan. Dengan jumlah 17 pingat yang dikutip, kolej ini merangkul piala juara beserta piala pusingan yang kekal menjadi milik mereka kerana berjaya menjuarainya selama tiga tahun berturut-turut.
Pengarah KV Keningau, Lumang anak Lang, menzahirkan perasaan bangga dan gembira dengan pencapaian ini kerana ianya menunjukkan betapa pentingnya bagi para pelajar di kolej itu untuk menguasai dengan baik setiap jenis kemahiran yang dipelajari dan sentiasa mengamalkan disiplin yang tinggi untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik. Pasukan kolej ini dilatih, diurus dan diiringi oleh guru-guru dalam bidang hospitaliti.
KV Keningau Pertahan Juara Keseluruhan Sabah Hospitality Fiesta Buat Kali Ketiga
