KUSKOP terima peruntukan RM1.015 bilion perkasa PMKS, koperasi

74c9ae0d a160 4799 97b6 4af33c3a1d47 1

TUARAN: 16 Jun 2026 – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menerima peruntukan sebanyak RM1.015 bilion menerusi Belanjawan 2026, meningkat 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya untuk memperkukuh pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta gerakan koperasi di negara ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mohamad Alamin berkata, jumlah itu merupakan peruntukan tertinggi pernah diterima kementerian berkenaan dan membuktikan keyakinan kerajaan terhadap peranan PMKS dan koperasi sebagai pemacu ekonomi rakyat.

“Ini bukan sekadar angka tertinggi dalam sejarah kementerian, tetapi simbol keyakinan kerajaan terhadap peranan PMKS dan koperasi sebagai tulang belakang ekonomi rakyat.

“Peruntukan ini memberi manfaat kepada semua kategori usahawan termasuk Bumiputera, wanita, belia, B40 dan usahawan di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pemerkasaan Kesedaran dan Pembudayaan Berkoperasi Zon Tuaran Sabah 2026 di Dewan Kak June, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, KUSKOP turut melaksanakan Strategi ABCD merangkumi Anjakan Produktiviti, Birokrasi Dipermudahkan, Capaian kepada Modal dan Daya Akses kepada Pasaran untuk memperkasa usahawan serta koperasi khususnya di kawasan luar bandar.

Menurutnya, strategi itu bertujuan meningkatkan daya saing usahawan dan koperasi selain membantu menjana pendapatan yang lebih mampan.

Dalam pada itu, beliau berkata gerakan koperasi terus menjadi antara pemacu utama pembangunan ekonomi rakyat berasaskan prinsip kerjasama, kebersamaan dan pemilikan bersama.

Katanya, koperasi kini mempunyai lebih 7.1 juta anggota di seluruh negara dan terbukti berupaya menjana peluang ekonomi, mewujudkan pekerjaan dan memperkukuh jaringan sosial masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berharap program berkenaan menjadi pemangkin kepada penubuhan lebih banyak koperasi berdaya maju dan meningkatkan penyertaan masyarakat dalam gerakan koperasi khususnya di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


TV Sabah | News Portal