TAMBUNAN: 27 Julai 2026 – Kumpulan Sawit Kinabalu bakal menganjurkan kursus pertanian berskala besar secara percuma kepada masyarakat di seluruh daerah Tambunan pada September ini, sebagai usaha memperkasa sektor pertanian dan meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar.
Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Dato’ Victor P. Paut berkata, kursus itu akan memberi pendedahan kaedah penanaman tanaman bernilai tinggi termasuk kelapa sawit, nenas, durian dan lada hitam.
Menurutnya, program berkenaan dianjurkan oleh beberapa agensi berkaitan termasuk Lembaga Lada Malaysia dan mendapat sokongan penuh Kumpulan Sawit Kinabalu.
“Setakat ini kira-kira 500 peserta sudah mendaftar awal dan kita menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat menjelang penganjurannya pada September nanti. Kursus ini juga terbuka dan percuma kepada masyarakat Tambunan kerana ia ditaja sepenuhnya oleh Kumpulan Sawit Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Gotong Royong Perdana Kampung Sunsuron, pada Sabtu lalu.
Jelasnya, penganjuran kursus itu sebahagian daripada usaha jangka panjang untuk menjadikan Tambunan sebagai antara hab utama pertanian di Sabah.
Beliau berharap ilmu yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti pertanian, sekaligus membuka lebih banyak peluang ekonomi.
Menurut Victor, program pembangunan masyarakat akan diteruskan ke kampung-kampung di seluruh Tambunan melalui pelbagai inisiatif yang bermanfaat kepada rakyat.
“Justeru, kita mahu lebih ramai penduduk menyertai kursus ini. Lagi ramai yang hadir, lagi besar manfaat yang dapat dinikmati masyarakat dan lebih mudah kita membangunkan sektor pertanian di daerah ini,” katanya.
Selain itu katanya, Kumpulan Sawit Kinabalu turut menaja Program Gotong-Royong Perdana, yang disertai sekitar 400 penduduk itu, dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM15,000 melibatkan penggunaan jentera jengkaut untuk kerja-kerja pembersihan kawasan semak tebal, peralatan gotong-royong serta makanan untuk sukarelawan yang mengambil bahagian.

Katanya, lapan agensi kerajan terlibat iaitu Pejabat Daerah Tambunan, Pasukan Gerakan Am (PGA), Rela Daerah Tambunan, Kolej Komuniti Tambunan, Askar Wataniah Rej 507 Tambunan, Balai Bomba & Penyelamat Tambunan, Kawasan Rukun Tetangga dan Klinik Kesihatan Sunsuron.

Menurutnya, program itu akan diperluaskan ke kampung-kampung lain sebagai usaha mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan kondusif.

“Kumpulan Sawit Kinabalu akan terus memainkan peranan membantu masyarakat melalui program CSR kerana kebanyakan program kemasyarakatan di Tambunan mendapat sokongan badan ini,” katanya.
Pada majlis sama, Victor turut mengumumkan peruntukan RM5,000 kepada Kampung Sunsuron untuk pembinaan rumah adat, sekaligus memperkasa undang-undang Anak Negeri di kawasan tersebut.

