KREATIF SABAH sokong insentif tambahan 5%–8%, serah memorandum Kerjasama Strategik Kepada FINAS

WhatsApp Image 2026 05 08 at 7.47.11 PM

KOTA KINABALU: 8 Mei 2026 – Pertubuhan Gabungan Persatuan Kreatif Sabah (KREATIF SABAH) menyambut baik cadangan Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Dato’ Hans Isaac, mengenai insentif tambahan sebanyak 5% hingga 8% dari Kerajaan Sabah untuk memperkasakan industri perfileman negeri.

Insentif tersebut dicadangkan sebagai tambahan kepada rebat Film in Malaysia Incentive (FIMI) sedia ada sebanyak 30%, menjadikannya tarikan lebih kompetitif untuk pembikin filem antarabangsa.

Pada majlis penutupan bengkel penulisan skrip FINAS di Hotel Hyatt Regency hari ini, Pengerusi KREATIF SABAH, Chester Pang, yang mewakili 10 persatuan gabungan, telah menyerahkan satu memorandum kepada FINAS, bertujuan menjalin kerjasama strategik untuk meluaskan capaian pembangunan industri kreatif ke seluruh Sabah, terutamanya kawasan luar bandar.

“KREATIF SABAH komited bekerjasama sepenuhnya dengan FINAS demi merealisasikan insentif ini dan memastikan pembangunan bakat kreatif bukan hanya tertumpu di bandar, malah merangkumi komuniti di luar bandar,” jelas Chester.

Chester, yang juga merupakan Presiden Persatuan Filem dan Visual Sabah (SAFVA), menzahirkan penghargaan mendalam kepada FINAS atas transformasi kualiti filem Sabah.

“Industri kita telah melalui perjalanan panjang. Bermula dari jualan VCD dan DVD di tamu-tamu dan pasar malam hasil usaha gigih penggiat seni senior kita sejak tiga dekad lalu, kini karya anak Sabah telah berjaya ke layar perak. Pencapaian membanggakan ini tidak mungkin berlaku tanpa sokongan dan penglibatan berterusan oleh FINAS,” tambah beliau.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Dato’ Hans Isaac dan para pegawai FINAS yang kerap turun ke Sabah untuk memantau dan memastikan kelancaran program-program pembangunan seni.

Terdahulu, Dato’ Hans Isaac dalam ucapan perasmian penutupan bengkel tersebut menjelaskan bahawa model insentif tambahan itu diinspirasikan oleh amalan di Australia, yang mana kerajaan negeri menawarkan peruntukan tambahan selain insentif kerajaan pusat. Menurut beliau, langkah ini akan memberikan kelebihan strategik kepada Sabah dan Sarawak dalam menarik pelaburan perfileman global.

Bengkel penulisan skrip yang berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Mei 2026 itu merupakan antara inisiatif berterusan untuk meningkatkan mutu pengisian kreatif di bawah seliaan FINAS.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *


TV Sabah | News Portal