KOTA KINABALU: 4 September 2026 — Seramai 154 atlet PARA Sabah berlepas ke Selangor kelmarin untuk menghadapi PARA SUKMA XXI Selangor 2026, dengan kontinjen negeri menyasarkan 66 pingat emas.
Para atlet berlepas menerusi dua penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), masing-masing pada jam 11.30 pagi dan 12.40 tengah hari.
Kontinjen Sabah menyertai 10 jenis sukan pada temasya yang berlangsung dari 5 hingga 10 September ini.
Pemain catur kategori B2 dan B3, Eddyron, berkata pasukannya menjalani latihan selama kira-kira dua minggu di pusat sukan Jabatan Belia dan Sukan sebagai persiapan menghadapi temasya.

Katanya, pasukan catur menyasarkan dua pingat emas, dengan strategi, ketahanan mental dan kawalan emosi menjadi antara kekuatan utama pasukan.
“Saya yakin untuk pasukan menang kali ini 70 peratus. Saya harap penyokong dari Sabah boleh untuk sokongan untuk kami dari jauh,” katanya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Tenis Meja Sabah, Thien Teck Leong, berkata persiapan pasukan dilakukan sejak tiga bulan lalu dengan sasaran tiga pingat emas.

“Kami punya sasaran ada tiga. Tapi MSN, kalau kami target lima. Dua itu mau kena cari, dari orang baru sama orang lama,” katanya.
Beliau menganggarkan peluang pasukan mencapai sasaran sekitar 90 peratus, walaupun berdepan cabaran perubahan kategori bagi sesetengah atlet.
Bagi acara olahraga, jurulatih Tony Sewan berkata persiapan atlet dirancang sejak dua tahun lalu menerusi program khusus menghadapi temasya itu.

“Kami jalani program selama dua tahun untuk persediaan. Saya rasa memang tercapailah persediaan kita, cuma kita ready untuk bertanding,” katanya.
Tony menganggarkan peluang mencapai sasaran pingat antara 90 hingga 95 peratus, namun cabaran utama ialah berdepan lawan yang kekuatannya belum diketahui sepenuhnya.

