Dua lelaki ditahan bersabit kes pecah rumah dan kecurian di Tawau

IMG 2068

Oleh: Nurul Fazliana Norman

TAWAU: 4 September 2026 – Polis menahan dua lelaki warga asing berusia 21 dan 26 tahun yang disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan kecurian di sebuah rumah kebun di Batu 4½, Jalan Apas, Tawau.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, YDH Supt. Wilynton Enchana Watt berkata, kes dilaporkan selepas mangsa, seorang wanita berusia 54 tahun, mendapati beberapa ekor kambing ternakannya hilang dari kandang ketika tiba di rumah kebun berkenaan.

Pemeriksaan turut mendapati kunci pintu utama rumah telah dirosakkan.

Pemeriksaan di dalam rumah kemudian mendapati sebuah telefon bimbit dan seutas rantai leher emas milik mangsa turut hilang.

Kabel bekalan elektrik kepada kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di luar rumah didapati dirosakkan, dipercayai untuk menghalang rakaman dibuat.

Susulan maklumat diterima, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan kedua-dua suspek di tepi jalan di Kampung Tator, Batu 4, Jalan Apas.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai buruh kasar itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah dan ditahan untuk membantu siasatan.

Semakan turut mendapati kedua-duanya tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 457 dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Polis menjalankan soal siasat dan merakam percakapan suspek, mangsa dan saksi berkaitan sebelum kertas siasatan dilengkapkan untuk tindakan selanjutnya.

Orang ramai dinasihatkan meningkatkan kawalan keselamatan di kediaman dan premis masing-masing selain menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan.

Sumber: Polis Daerah Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Are you human? Please solve:Captcha


Sponsored

Ready to get noticed? Advertise with us!

Klik gambar untuk maklumat lanjut


This will close in 15 seconds

TV Sabah | News Portal