Konflik berskala besar yang melibatkan pakatan Israel-Amerika Syarikat menentang Iran dan sekutunya telah memasuki minggu keempat, dengan gelombang serangan baharu dilancarkan di beberapa kawasan di Timur Tengah sejak 20 Mac lalu. Lebih 1,300 nyawa dilaporkan terkorban di Iran, manakala keadaan kemanusiaan di Lebanon dan Syria terus merosot.
Serangan Udara dan Peluru Berpandu Terus Bergema
Pada 20 Mac, tentera Israel melancarkan gelombang serangan baharu yang mensasarkan lokasi di Tehran dan Beirut, termasuk kemudahan pengeluaran komponen peluru berpandu balistik jarak jauh. Jurucakap tentera Israel, Effie Defrin, mengesahkan bahawa lebih 10,000 peluru telah digunakan sejak kempen ketenteraan bermula pada 28 Februari lalu. Beliau juga menyatakan Israel menjangkakan pertempuran akan berlangsung “beberapa minggu lagi.”
Sebagai tindak balas, Iran melancarkan Gelombang ke-75 Operasi True Promise 4 pada 21 Mac, menyasarkan kedudukan tentera Israel dan Pangkalan Udara Putera Sultan milik Amerika Syarikat di Al-Kharj, Arab Saudi. Serangan balas Iran turut dilaporkan menyasarkan pangkalan tentera bersama AS-UK di Diego Garcia, Lautan Hindi, walaupun dua peluru berpandu balistik yang dilancarkan dikatakan gagal mencapai sasaran.
Dalam satu serangan udara Israel di Tehran, Brigedier Jeneral Ali Mohammad Naini, jurucakap dan ketua perhubungan awam Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC), terbunuh.
Negara Teluk Juga Diserang
Konflik ini turut melibatkan negara-negara Teluk. Arab Saudi melaporkan kejayaan memintas 22 dron di bahagian timur negara pada 21 Mac, manakala UAE mengumumkan bahawa sistem pertahanan udaranya telah memintas 338 peluru berpandu balistik, 15 peluru berpandu krus dan 1,740 dron sejak pertempuran bermula.
Kuwait turut menjadi sasaran dengan kilang penapisan minyak utama, Mina Al-Ahmadi, diserang oleh dron kali kedua dalam tempoh 24 jam, menyebabkan kebakaran kecil yang kemudiannya berjaya dikawal.
Ketegangan Diplomatik antara AS dan Israel
Walaupun bertindak sebagai sekutu, ketegangan strategik mula timbul antara Washington dan Jerusalem. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dilaporkan meminta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, untuk menghentikan serangan ke atas medan gas Iran – satu permintaan yang dipersetujui Israel.
Trump menyatakan hasrat untuk “mengurangkan operasi ketenteraan” di Timur Tengah dan lebih menekankan diplomasi. Bagaimanapun, Netanyahu menegaskan tekanan ketenteraan berterusan adalah perlu untuk melemahkan Iran, mencetuskan jurang pendekatan antara dua sekutu utama itu. Newsweek melaporkan konflik ini mungkin bermula sebagai “perang Netanyahu” tetapi berkemungkinan berakhir mengikut “syarat Trump.”
Ancaman Serangan Infrastruktur dan Sekatan Minyak
Ketegangan semakin memuncak setelah Presiden Trump mengancam untuk menyerang grid eletrik Urab dalam tempoh 48 jam jika Selat Hormuz tidak dibuka sepenuhnya, sebaliknya Iran mengancam akan menyerang infrastruktur tenaga dan air negara-negara jiran pada 22 Mac sekiranya serangan terhadapnya diteruskan.
Pentadbiran Trump juga mengumumkan rancangan untuk menggantung sekatan minyak Iran buat sementara waktu untuk menstabilkan harga minyak global yang melambung tinggi. Harga minyak mentah Brent telah mencecah melebihi AS$108 setong berikutan kebimbangan gangguan bekalan di Selat Hormuz.
Krisis Kemanusiaan dan Ekonomi Meluas
Kesan konflik ini bukan sahaja dirasai di medan pertempuran tetapi turut melumpuhkan ekonomi global. Di Amerika Syarikat, harga purata petrol nasional melonjak dari AS$2.93 ke AS$3.91 setong dalam tempoh sebulan, menyebabkan Georgia menjadi negeri pertama yang menggantung cukai bahan api.
Di Eropah, harga gas meningkat 32 peratus, mendorong Kesatuan Eropah menggesa negara-negara anggotanya mengurangkan sasaran penyimpanan gas sebanyak 10 peratus.
Dari segi kemanusiaan, lebih 1,000 kematian dilaporkan di Lebanon dengan lebih sejuta penduduk kehilangan tempat tinggal. Sebanyak 134,616 orang berada di 644 pusat perlindungan di seluruh negara. Angkatan Pertahanan Israel dilaporkan telah diarahkan untuk mempercepatkan perobohan rumah di “kampung barisan hadapan” Lebanon bagi menghapuskan ancaman keselamatan kepada penduduk Israel.
Reaksi Antarabangsa
Di peringkat antarabangsa, Presiden Rusia Vladimir Putin mengesahkan Rusia kekal sebagai “rakan setia dan rakan kongsi yang boleh dipercayai” kepada Iran. Sementara itu, NATO menarik sementara misi penasihat keselamatannya dari Iraq, manakala Arab Saudi, Turki, dan Mesir mengutuk serangan Israel ke atas infrastruktur ketenteraan di barat daya Syria sebagai “pencerobohan” yang melanggar undang-undang antarabangsa.
Pentagon dikatakan meminta tambahan AS$200 bilion untuk membiayai perang, namun permintaan ini mendapat tentangan hebat para pemimpin Demokrat di Kongres Amerika Syarikat.
Sumber: Xinhua, Newsweek, CGTN, Associated Press, Deutsche Welle, WION
Laporan ini disusun pada 25 Mac 2026 berdasarkan perkembangan terkini.
